Wednesday, August 5, 2009

Masyarakat Majmuk dan Halangan Perpaduannya

Latar belakang

Menjadi masyarakat majmuk bukanlah keadaan atau jenis masyarakat yang patut dielakkan. Ia bukanlah suatu masalah. Ia tidak lahir sebagai suatu beban kepada kelangsungan masyarakat dunia. Maka ia tidak sepatutnya dihalang daripada wujud dan menjadi sebahagian daripada masyarakat besar dunia ini. 

Dalam sejarah dunia, telah pun wujud masyarakat majmuk misalnya dalam era masyarakat Madinah yang ditadbir oleh kerajaan Rasulullah. Di bawah payung keadilan risalah dan syariah Islam berbagai etnik hidup aman damai, termasuklah bani Israel (Yahudi) dan orang Nasrani. 

Namun kita perlu memahami permasalahan yang boleh timbul dari kumpulan masyarakat yang berbeza latar belakang ini.

J.S. Furnivall pada tahun 1948 telah menjalankan kajian ilmiahnya ke atas masyarakat di Burma dan Jawa yang terdiri daripada orang Eropah, Cina, India dan orang tempatan. Dapatan dari kajian beliau memahamkan kita ciri-ciri yang menjadi penyebab kepada wujudnya jurang dalam sesebuah masyarakat majmuk : 

“Mereka bergaul tapi tidak bergabung. Setiap kumpulan berpegang dengan agama masing-masing, kebudayaan dan bahasanya sendiri, ide dan cara hidup sendiri. Sebagai individu mereka bertemu, tetapi hanya di pasar, semasa membeli dan menjual. [Natijahnya] wujud satu masyarakat plural di mana pelbagai bahagian komuniti hidup sebelah menyebelah, tetapi berasingan, dalam unit politik yang sama. Berlaku juga dalam bidang ekonomi, di mana pembahagian buruh berlaku mengikut garisan ras.”

Halangan Perpaduan - Puncanya ?

Namun di negara yang dijajah seperti Tanah Melayu masalah hubungan inter-etnik dalam masyakat majmuk diketahui wujud, secara langsung atau pun tidak, akibat daripada niat dan rancangan penjajah sendiri demi mengekalkan hegemoni dan kepentingan ekonomi mereka.

Masalah ini bukan didorong oleh sebab semulajadi perbezaan mereka. Ia memang suatu yang direncanakan untuk menjaga kepentingan penjajah Inggeris.

Melalui dasar pecah dan perintah (divide and rule) penjajah memisahkan pekerjaan, tempat tinggal dan pendidikan etnik-etnik utama ini. Dengan strategi halus ini komunikasi dihalang agar mereka tidak berpeluang bergaul mesra, saling kenal mengenal dan akrab.

Akibatnya persefahaman budaya sukar diwujudkan. Tipisnya semangat kekitaan walaupun tinggal di bumi yang sama. Sebaliknya menebal pula semangat kebangsaan masing-masing. 

Secebis fakta di atas adalah premis sejarah sebagai punca latar yang juga mempengaruhi pola hubungan etnik di Malaysia selain daripada faktor-faktor lain yang akan dibentangkan kemudian.

Menginsafi masalah yang jauh lebih besar boleh timbul akibat ketidaksatuan masyarakat Tanah Melayu ini, maka kerajaan berusaha menggubal dasar dan undang-undang di samping pelan-pelan sosial dan ekonomi bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni, saling hormat menghormati dan bekerjasama demi agama, bangsa dan negara ini.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...