Wednesday, August 26, 2009

Kes Kartika : Terbukanya 'Pekung' Pihak Berkuasa

Sebagai negara Islam (berdasarkan perisytiharan oleh Dr. Mahathir Mohamad), kes Kartika yang tidak jadi (dibaca : tidak boleh) disebat kerana Malaysia tiada jurusebat syariah adalah suatu yang memalukan. Ikuti laporan media berkenaan perkara ini.

Ironisnya, enakmen tentang hukuman sebat ini telah lama diwartakan di negeri Melayu setelah melalui proses penggubalan di Dewan Undangan Negeri (DUN). Mengapa pula apabila hukuman telah dijatuhkan oleh hakim syarie ia gagal dilaksanakan kerana alasannya ketidaksediaan dari segi tatacara melaksanakan hukuman tersebut?

Undang-undang yang diguna pakai - dalam kes ini di mahkamah syariah negeri Pahang - bukan baru diluluskan oleh badan perundangan negeri Pahang baru-baru ini, bukan tahun lepas bahkan bukan juga 10 tahun lepas!

Rupa-rupanya enakmen ini (Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987) masih tidak melepasi piawaian undang-undang yang adil dan saksama. Ia tidak mampu mendidik pesalah syariah. Begitulah antara komen dan kritikan pihak-pihak tertentu ke atas undang-undang syariah - sekurang-kurangnya di negeri Pahang.

Kes ini mengingatkan saya kepada penguatkuasan undang-undang syariah ke atas wanita Islam yang bertanding sebagai calon ratu cantik di Selangor satu masa dulu. Yang kena hentam bertubi-tubi ialah penguatkuasa agama. Yang dibela ialah wanita Melayu-Islam yang bersalah di sisi undang-undang syariah yang telah diluluskan oleh DUN berkenaan.

Yang lebih menyedihkan apabila undang-undang syariah tersebut dicemuh dan dipertikaikan pula oleh orang Islam sendiri atas nama keadilan dan hak asasi bagi membela wanita teraniya. Para simpatisan kepada Kartika dan yang skeptikal ke atas undang-undang syariah merupakan tokoh dan aktivis sosial serta ahli politik Islam yang berpengaruh dalam masyarakat. (Sila klik di sini untuk mendapatkan pandangan profresional dalam bidang undang-undang agar kita tidak terus menerima persepsi yang salah tentang situasi yang sedang berlaku sekarang).

Namun, bagaikan tidak peduli dengan simpati dan 'pujukan'  pihak-pihak berkenaan agar beliau merayu semakan kehakiman, Kartika masih tetap dengan pendiriannya untuk menjalani hukuman sebat itu apabila masanya tiba kelak.

Pada saat ini saya cuba mencari kewajaran mengapa undang-undang syariah ini dilayan sebegitu rupa. Saya kebingungan untuk seketika.

Apapun ini menjadi petanda bahawa pihak berkuasa berkenaan memandang enteng isu penguatkuasaan undang-undang (pentadbiran) syariah. Senario terbaru ini menjadi bahan ketawa orang (mockery) bukan Islam di luar sana. 

Begitulah nasib undang-undang syariah di negara ini. Kes-kes ini - walaupun dihujahkan oleh pihak tertentu sebagai terpencil - tetap menjadikan ia sebagai undang-undang yang inferior di sisi perlembagaan dan penerimaan masyarakat Islam sendiri.

Siapakah atau apakah yang menjadi masalah pokok di sini - undang-undang syariah itukah atau pembuat undang-undang syariah itu sendiri (para ADUN) atau sikap kita terhadap undang-undang syariah itu?

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...