Saturday, August 15, 2009

Etnik/Ras OK, Etnosentrisme/Rasisme KO

Etnik dan ras adalah istilah sosiologi merujuk kepada kumpulan manusia dengan ciri-ciri pengenalan tertentu. Dua istilah ini tiada membawa maksud atau label negatif.

Namun apabila dua istilah tersebut dijelmakan sebagai etnosentrisme dan rasisme maksudnya berubah. Kedua-duanya kini menjadi satu fahaman hidup atau isme (sebagai akhiran suatu perkataan atau suffix -ism). 

Apakah yang dimaksudkan dengan isme ? 

Mengikut wordweb isme merujuk kepada 'A belief (or system of beliefs) accepted as authoritative by some group or school'.

Oxford Advanced Learners Dictionary pula mentakrifkan isme sebagai  '..a distinctive doctrine or practice'.

Ringkasnya kedua-dua takrif ini menunjukkan bahawa isme adalah suatu kepercayaan, pegangan, anutan, atau amalan. Isme boleh juga dikaitkan dengan satu lagi istilah sosio-politik lain iaitu ideologi.

Menurut Webster's Classic Reference Library ideaologi merujuk kepada '...a body of ideas that influence a person, group, culture, or political party'.

Bila kita meletakkan semua takrifan ini dalam konteks dua istilah tadi iaitu etnosentrisme dan rasisme, maka fahaman berpusatkan kepada etnik dan ras ini condong kepada sikap menjadi tuan, superior, dominan dalam sesebuah komuniti atau masyarakat. Dengan menggunakan kayu ukur sendiri, semua kumpulan etnik lain adalah inferior, lemah, hina dan tidak setaraf.

Kerana sifat-sifat ini melewati batas pertengahan atau kesederhanaan, golongan ini disebut sebagai pelampau kaum.

Apabila berlaku pertembungan dengan kumpulan etnik atau ras lain - lebih-lebih lagi minoriti - pendokong isme ini akan melakukan, sama ada secara terang-terang atau tersorok, diskriminasi dalam setiap kesempatan berinteraksi.

Ini ditunjukkan dalam pengambilan pekerja, akses kepada kemudahan asas, peluang ekonomi, dan banyak lagi. Di Afrika Selatan - melalui dasar Apartheid - orang kulit hitam menjadi warganegara kelas kedua oleh tuan politik di situ iaitu orang kulit putih. Penduduk natif Afrika Selatan menjadi mangsa dasar diskriminatif kerajaan kulit putih atas nama kemuliaan bangsa kulit putih yang (kononnya) lebih bertamadun.

Di tahap yang ekstrim - atas nama kemuliaan bangsa - mereka akan tergamak melakukan pembersihan etnik (ethnic cleansing) ke atas kumpulan etnik lain. Dalam sejarah kemanusiaan, amalan ini telah ditunjukkan oleh kumpulan Nazi-Jerman ke atas kaum Yahudi dan kaum Serbia ke atas muslim Bosnia.

Bagi orang Yahudi pula mereka beriman kepada satu kepercayaan iaitu 'We are the chosen tribe'. Kini orang Yahudi dalam bentuk institusi pemerintah iaitu regim Zionis-Yahudi membunuh orang Palestin sewenang-wenangnya tanpa dapat disekat oleh undang-undang antarabangsa di tanah air penduduk Palestin sendiri.

Di kala penjajahan diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Isreal pula dibenarkan melakukannya ke atas bumi Palestin yang sangat strategik itu. Orang Palestin dihapuskan dan dihalau dari tanah air mereka agar Israel dapat meluaskan wilayah taklukan mereka untuk bagi mewujudkan Israel Raya (the Greater Israel). 

Sangat ironis peristiwa ini masih tergamak diizinkan oleh kerajaan berkuasa dunia sedangkan tamadun manusia semakin maju!

Di Malaysia kumpulan yang rasis atau etnosentrik ini juga pernah wujud. Pada 13 Mei 1969 merekalah yang bertanggungjawab mencetus rusuhan kaum berdarah.

Apakah kita mahu peristiwa ini diulangi lagi sekarang apabila sudah banyak pihak yang cuba mempengaruhi pendapat umum untuk menyokong idea yang mirip Malaysian Malaysia ?

Kerajaan perlu bertegas membendung gejala ini dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan seperti Akta Hasutan 1948 agar individu atau kumpulan rasis atau etnosentrik ini dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka perlu disabitkan kesalahan ke atas negara. Dosa mereka terlalu besar untuk dibiarkan begitu saja.

Peringatan saja tidak cukup. Bahasa yang mereka dan kita semua akan faham sebenarnya ialah bahasa undang-undang - yang dikuatkuasakan.

Mesej yang tegas perlu disampaikan kepada rakyat Malaysia bahawa 'di mana bumi dipijak di situlah langit mesti dijunjung'.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...