Sunday, August 9, 2009

Kes Kartika - Antara Syariah dan Amarah.

Sistem kehakiman di Malaysia menggunapakai dua sistem undang-undang dan sekaligus kehakiman. Pertama, undang-undang sivil. Kedua, undang-undang syariah.

Undang-undang sivil adalah undang-undang yang diluluskan di Parlimen iaitu insitusi perundangan tertinggi negara. Kebanyakan undang-undang yang terpakai di negara kita hari ini bersumberkan undang-undang sivil ini. Undang-undang ini dikuatkuasakan ke atas semua rakyat Malaysia tanpa kecuali.

Manakala undang-undang syariah - sesuai dengan sejarah negara ini dan status 'negara Islam' - diperlembagakan di dalam sidang badan perundangan negeri iaitu DUN. Namun ia adalah khusus untuk orang Islam di negara ini. 

Peruntukan mengenai kewujudan dan pemisahan dua undang-undang dan sistem kehakiman ini dinyatakan dengan jelas di dalam Jadual 9, Senarai I dan Senarai II Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, menuruti prinsip ke-3 dan ke-4 Rukunegara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang, sebagai rakayat negara ini kita hendaklah akur dengan sistem, tatacara dan kesan kuatkuasa dua undang-undang ini. Melainkan ia dipertikaikan banyak pihak sebagai bercanggah dengan hak asasi manusia dan nilai keadilan, undang-undang yang telah diluluskan sama ada sebagai akta (parlimen) atau enakmen/ordinan (DUN) perlulah dijunjung.

Setiap dari kita mestilah mempamerkan sikap yang sama apabila suatu undang-undang itu dikuatkuasakan sama ada ia bersifat sivil atau syariah. Ini adalah kerana kesemua undang-undang itu telah diluluskan oleh pembuat undang-undang melalui tatacara yang rapi dan kaedah yang sah di sisi perlembagaan.

Oleh itu, agak ironis apabila beberapa pihak mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu  menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 selepas mengaku salah meminum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2007. 

Alasan mereka begitu mudah - mengikut rasional biasa kita - pesalah (Kartika) sudah insaf maka tak perlulah sampai dirotan, ramai lagi yang buat kesalahan syariah seperti berkhalwat, zina dan sebagainya kenapa tidak pula dikenakan hukuman sebat, dan berbagai lagi alasan. 

Saya juga simpati dengan Kartika. Tetapi untuk mempertikai keputusan hakim syarie Abdul Rahman Yunus bukanlah suatu sikap yang wajar.

Saya percaya hakim berkenaan telah mengambil kira dan memperhalusi semua aspek semasa menjatuhkan hukuman tersebut. Antaranya, berdasarkan suasana semasa di mana gejala dan kemelut sosial umat Islam di tahap yang kronik kerana berleluasanya tingkah laku sumbang, menjolok mata, gaya hidup bebas bagai tanpa disekat lagi hukuman tersebut adalah wajar sekali. 

Selalunya keberanian seorang hakim adalah diperlukan untuk menjatuhkan hukuman seberat ini. Ini kerana masyarakat moden tidak mudah menerimanya kerana ia dilihat barbaric dan tidak berperikemanusiaan.

Kita perlu faham undang-undang syariah berbeza dengan undang-undang sivil. Undang-undang syariah adalah undang-undang Allah. Ia bukan dari ilham aqal manusia hasil pemahaman dan keinsafan di atas masalah sosial yang berlaku dari semasa ke semasa.

Jenayah dalam Islam diputuskan mengikut hukum hudud dan qisas - hukuman yang tetap (qatie) berdasarkan Quran dan hadith. Ini meliputi antara lain kesalahan membunuh, mencuri dan berzina. Jika tiada dinyatakan dalam Quran dan hadith maka hakim diberikan ruang untuk menjatuhkan hukuman secara takzir - mengikut pertimbangan hakim sendiri.

Dalam kes Kartika, apabila sabit kesalahannya mengikut hukum asal hudud dan qisas, hukuman bagi kesalahan minum arak adalah 40 kali sebatan - tidak kira lelaki atau perempuan. Ada sesetengah ulama pula mengatakan hukumannya adalah 80 kali sebatan! (baca soal jawab agama ini ).

Namun di Malaysia hukuman bagi jenayah syariah telah ditetapkan kadarnya iaitu penjara tidak lebih dari 3 tahun, denda tidak lebih daripada RM5000 atau sebat tidak lebih dari enam kali (Formula 3:5:6).

Hakim Abdul Rahman berlunaskan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan telah memilih menjatuhkan hukuman maksimum dengan memilih denda RM5,000 dan sebat maksima 6 kali. Ini bukan kali pertama hukum sebat dijatuhkan ke atas pesalah minum arak.

Sejak 2 orang lelaki adik beradik ditahuhkan hukuman sebat beberapa tahun lalu di Pahang, kes Kartika adalah kes yang ketiga (baca artikel The Star Online bertajuk 'Is Whipping the answer?' ). 

Perkara ini menjadi isu hanya kerana ia dilihat dari perspektif psikologi, emosi dan sentimen gender. Justeru tidaklah pelik apabila tokoh wanita tertentu dari NGO atau kerajaan mempersoal hukuman ini.

Apakah mereka ini terikut-ikut dengan pemikiran Barat yang liberal dan sangat menghormati hak individu mengatasi hak masyarakat ?

Apapun dengan keberanian seorang hakim syarie dan keinsafan dan redhanya Kartika dengan hukum sebat tersebut, apakah kita tegar lagi membiarkan masyarakat kita mengambil ringan dan memandang rendah terhadap sistem kehakiman syariah negara ini?

Setelah undang-undang asal jenayah Islam tidak boleh dikuatkuasakan di negara 'Islam' ini, sekurang-kurangnya hukuman 6 sebatan ini dapat memenuhi sebahagian maksud hukuman dalam Islam.

Masyarakat Islam di negara kita sedang mengalami masalah sosial yang besar. Minum arak, berkhalwat, bersekedudukan, berzina dan berbagai lagi kesalahan atau jenayah syariah bukan lagi kes terpencil. Ia bukan juga gejala lokal lagi. Ia ibarat barah yang sedang merebak akibat dari fenomena pensejagatan. Kerana 'dunia sudah menjadi tanpa sempadan' nilai, pemikiran dan isme liberal dan hedonis Barat mudah keluar masuk ke dalam pemikiran dan jiwa anak-anak muda negara kita.

Oleh itu, kawalan sosial melalui undang-undang menjadi pilihan terakhir bagi memperbetulkan keadaan ini.

Kita berharap kes Kartika ini menjadi teladan buat kita semua. Bak kata Kartika sendiri yang merupakan ibu kepada dua anak berusia lima dan tujuh tahun ( Utusan Malaysia Online, 23 Julai):  

''Saya menyesal dengan perbuatan yang saya lakukan. Saya telah menjatuhkan maruah keluarga. Sebab itulah saya mahu hukuman sebat dijalankan segera kerana mahu lupakan apa yang berlaku dan menjalani kehidupan baru bersama keluarga.

''Saya harap dengan hukuman ini, orang lain akan membuka mata dan tidak melakukan kesalahan yang serupa. Ini bukan sesuatu yang dibanggakan," katanya. 

Lebih meruntun perasaan saya apabila beliau menyatakan (Mstaronline, 22 Julai) :

"Hukuman dunia saya akan terima, hukuman di akhirat biar Allah tentukan. Setakat ini mahkamah belum memberitahu bila hukuman itu akan dijalankan, dan saya ingin memohon supaya mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu."

Tidakkah kita bersyukur kerana mempunyai rakyat seperti Kartika ?

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...