Wednesday, August 19, 2009

Kontrak Sosial versus Blog dan Web

Isu kontrak sosial masih terus diperkatakan. Ia kini menjelma menjadi polemik yang membahayakan.

Sikap kerajaan yang lebih terbuka dan liberal, terutamanya pasca PRU-12 dan percambahan media baru yang bersifat maya seperti website dan blog, menyebabkan perkara-perkara sensitif dalam kontrak sosial disentuh secara terbuka dan berani. Malangnya perbincangan tersebut telah mula bertukar kepada debat emosi yang sarat caci maki, hina menghina, kutuk mengutuk antara satu sama lain. (Klik di sini untuk mendapatkan gambaran polemik emosi oleh kumpulan rasis anti-kontrak sosial). Ini tidak lagi waras!

Dulu gejala ini tidak begitu ketara. Jika ada pun yang 'terlanjur' dari kalangan ahli politik pemerintah ia diselesaikan di meja rundingan atas semangat Barisan Nasional. Atau kerana tak makan sama pihak yang berkenaan 'dipeti sejukkan' di Kem Kemunting jika perlu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tentulah tindakan pihak berkuasa itu memberi mesej tegas untuk golongan rasis atau chauvinis ini kecut perut.

Kita patut berasa bimbang dengan perkembangan ini. Ia tidak sihat kepada iklim sosial dalam masyarakat kita. Di usia 52 tahun kemerdekaan negara ini, sepatutnya kita telah lebih akrab dan saling hormat menghormati. 

Bagaimana masalah ini dapat ditangani ?

Semua pihak bertanggungjawab menanganinya. Namun, sebagai pihak yang mempunyai kuasa, kerajaanlah yang mesti memainkan peranan terbesar. Rakyat, NGO dan yang lain-lain akan menurut dan patuh kepada arahan kerajaan demi kemakmuran negara ini.

Peranan kerajaan ini telah mula ditunjukkan melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya. Terbaru dalam laporan Malaysiakini 19 Ogos, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri  Hishammudin menyatakan kerajaan bercadang mengambil tindakan lebih tegas dengan "menyekat capaian kepada blog dan laman web" yang didakwa menerbitkan kenyataan palsu, berbau hasutan dan mempersendakan agama.

Selanjutnya dari laporan yang sama :

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kerajaan akan memantau secara serius penerbitan di Internet termasuk mengambil tindakan melalui undang-undang sedia ada. 

"Usaha ini termasuk mendakwa penulis laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan yang mempersendakan agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Dalam soal ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap pihak atau individu tidak harus menggunakan alasan kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi ketika mengemukakan apa-apa pandangan serta pendapat, tanpa langsung memikirkan kepentingan orang lain khususnya masyarakat berbilang kaum di negara ini." 

Tegasnya, demokrasi harus turut mempunyai batasan yang perlu dipatuhi. 

"Jika mereka melangkaui had dan batas ini, maka undang-undang akan mengambil tempat bagi melindungi rakyat dan negara," kata Hishammuddin lagi. 

Kita harap selepas ini dasar atau undang-undang yang sedia ada dilaksana dan dikuatkuasakan apabila individu atau kumpulan yang rasis tersebut terus melakukan keterlanjuran menyentuh perkara-perkara sensitif dalam kontrak sosial melalui ruang maya di blog atau media elektronik lain.

Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, bahasa yang orang akan mudah faham ialah bahasa undang-undang - yang dikuatkuasakan.

Rakyat Malaysia perlu kritis terhadap apa yang mereka baca, dengar, lihat dan alami agar tidak mudah dipengaruhi dan dieksploitasi untuk kepentingan politik golongan rasis.

Bersama kerajaan yang bertanggungjawab, kita semua mesti menoktahkan debat emosi tentang Kontrak Sosial ini. 

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...