Thursday, August 27, 2009

Eksekutif Ganggu Judisiari

Negara kita mengamalkan doktrin pengasingan kuasa iaitu kuasa-kuasa pemerintahan negara dibahagikan kepada 3 cabang atau badan pemerintahan iaitu eksekutif, legaslatif dan judisiari.

Tujuan doktrin yang disebut sebagai trias politica ini adalah untuk mengelakkan pemusatan kuasa di tangan satu pihak. Setiap badan adalah utuh kerana ia bebas-campurtangan pihak lain. Masing-masing mempunyai tugas khusus dan tidak bersandar antara satu sama lain, sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Eksekutif adalah kerajaan yang memerintah day-to-day basis. Ia bertanggungjawab menggubal dasar negara. Manakala legaslatif dipertanggungjawabkan menggubal undang-undang. Peranan ini dimainkan semasa sidang Parlimen. Judisiari pula hanya mentafsir, menguatkuasa dan melaksanakan undang-undang dalam sebarang pertikaian yang dibawa ke mahkamah.

Justeru, dalam perkembangan terbaru kes Kartika, apabila pejabat Peguam Negara mengarahkan agar hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah syariah Pahang ke atas Kartika ditangguhkan dulu, ia dilihat sebagai satu percubaan pihak eksekutif - secara tidak langsung -mencampuri urusan kehakiman. (Baca ulasan Peguam Syarie di  Malaysiakini.com dan BERNAMA  mengenai hal tersebut).

Di sisi perlembagaan persekutuan, peguam negara adalah penasihat undang-undang kerajaan atau peguam bagi (membela) kerajaan jika kerajaan diheret ke mahkamah.

Selain daripada itu ia juga berperanan – dengan kuasa budi bicara – untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan mana-mana prosiding tentang kesalahan-kesalahan yang dibicarakan di mahkamah sivil.

Akan tetapi kuasa Peguam Negara tersebut tidak pula begitu luas hingga boleh menjangkau ke atas kesalahan-kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Syariah, Mahkamah Bumiputera atau Mahkamah Tentera. 

Oleh yang demikian, langkah atau arahan Peguam Negara dalam kes Kartika yang menjadi pesalah syariah boleh dilihat sebagai campur tangan pihak eksekutif ke atas urusan kehakiman, khususnya kehakiman syariah. Ini kerana Peguam Negara adalah sebuah institusi di bawah arahan eksekutif.

Justeru ini bercanggah dengan semangat dan motif doktrin pengasingan kuasa yang selama ini diguna pakai.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...