Friday, August 7, 2009

Wasiat Raja-raja Melayu untuk Rakyat Malaysia

Sistem politik negara kita adalah unik. Ini kerana ia mengamalkan dua sistem pemerintahan. Pertama, sistem demokrasi. Kedua, sistem monarki. Kedua-dua sistem ini berjalan dengan fungsi dan tanggungjawab masing-masing untuk menjamin kelangsungan negara ini sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Dalam situasi harian (day to day basis) negara diperintah sebuah kerajaan awam hasil pilihan majoriti rakyat. Menurut Abraham Lincon, 'kerajaan ini adalah dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat'. Prinsip ini melandasi pemerintahan demokrasi negara kita.

Pemerintahan oleh rakyat ini adalah jelas di mata kita semua. Manakala Raja-raja pula dilihat sebagai pemerintah secara nominal sahaja.

Namun kenyataannya kuasa kerajaan sebagai eksekutif masih dibatasi oleh perlembagaan dalam hal-hal tertentu. Kerajaan tiada kuasa mutlak dan boleh memuktamadkan semua perkara di negara ini.

Apakah maksud kenyataan ini ?

Kerajaan atau eksekutif yang juga sebahagian daripada badan pembuat undang-undang (legaslative body) di Parlimen (atau DUN di peringkat negeri) tidak boleh membuat dasar atau menggubal akta (atau enakmen atau ordinan) apabila ia menyentuh tentang kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, agama Islam dan hal-hal lain berkaitan.

Mengapa ini berlaku sedangkan kerajaan demokratik mendapat mandat untuk menggubal undang-undang demi mewujudkan keadilan dan mencapai kemakmuran negara ?

Ini disebabkan perkara-perkara yang disebutkan tadi adalah di bawah jagaan Majlis Raja-raja. Perkara tersebut yang diletakkan sebagai perkara sensitif juga merupakan sebahagian daripada apa yang selalu disebut sebagai Kontrak Sosial.

Dengan kata lain, Raja-raja Melayu sebenarnya mempunyai kuasa tertentu yang perlu dirujuk oleh pihak kerajaan untuk mendapat perkenan atau restu sebelum undang-undang yang ingin digubal, dipinda apatah lagi dimansuhkan diluluskan oleh badan perundangan negara iaitu Parlimen.

Perkara ini menjadi lebih jelas lagi apabila Raja Nazrin Shah bertitah semalam dalam majlis pelancaran tiga buku allahyarham Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, bersempena seminar antarabangsa legasi pemikiran pemikir itu yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Titah ucapan itu menyorot 'Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu'  (laporan Malaysiakini, 6 Ogos) semasa Raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 5 Ogos 1957.

Raja Nazrin menyatakan semula tujuh wasiat tersebut adalah :

Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melalyu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain.(Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Diturunkan berikut sebahagian lagi laporan Bernama yang dipetik Malaysiakini mengenai perkara di atas.

Menurut Bernama, baginda bertitah wasiat sembilan Raja Melayu – yang terdiri empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu – disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

“Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu,” titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

Titah ucapan dari seorang kerabat istana Perak di atas adalah kena pada tempatnya di kala negara dilanda percubaan banyak pihak untuk mendefinisikan semula sistem kenegaraan Malaysia atas nama hak asasi, demokrasi dan keadilan sejagat.

Ia adalah satu peringatan tentang perjanjian lama dan pengorbanan penduduk asal Tanah Melayu menjelang penubuhan sebuah negara merdeka 1957. Generasi baru hari ini perlu dicelikkan mengenai fakta ini. 

Penjelasan di atas telah memahamkan kita mengenai konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. 

Tidak seperti negara demokrasi lain apatah lagi negara republik seperti Singapura, sistem yang diamalkan di negara kita suatu yang unik kerana Raja dan rakyat berganding bahu memerintah negara ini.

Benarlah sejarah dan warisan silam masih ada pengaruh ke atas sebuah negara moden Malaysia hinggalah ke hari ini.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...