Masyarakat (society) dibentuk oleh individu-individu yang berkongsi budaya, norma, cita-cita, aspirasi, matlamat hidup dan sebagainya. Tidak terkecuali yang menjadi perkongsian semua ahlinya - sebagai elemen yang lebih asas - ialah sejarah kelahiran negara, kepercayaan (anutan) hidup yang diwarisi dan bahasa pertuturan.
Elemen-elemen ini menjadi social glue yang mengikat semua ahli masyarakat agar kekal bersatu dalam menghadapi cabaran semasa.
Bagi masyarakat Malaysia, cabaran maha besarnya adalah menghapuskan jurang sosial sesama ahli masyarakatnya. Ini adalah disebabkan masyarakat Malaysia bersifat heterogenus. Dalam bahasa lebih mudah, masyarakat negara ini bersifat majmuk yakni terdiri dari pelbagai lapisan bangsa atau kaum, keturunan, agama dan budaya.
Keadaan ini jauh berbeza dengan masyarakat Jepun yang rata-ratanya sebangsa - bangsa Jepun. Masyarakat homogen ini tidaklah sulit untuk dibentuk atau diurus tadbir kerana tiada perbezaan jurang sosial yang luas dan ketara kerana perbezaan kaum atau budaya. Yang ada adalah perbezaan ekonomi - kaya miskin, bangsawan vs buruh - antara ahli masyarakatnya. Ini bukanlah fenomena tempatan di Jepun sahaja. Ia adalah fenomena global.
Kerana kerencaman dan kompleksiti dalam latar budaya sesebuah masyarakat majmuk ini maka ia mengahadapi cabaran utama mewujudkan perpaduan dan keharmonian. Ini kerana semua kaum baik majoriti atau minoiriti (seperti golongan imigran) sentiasa bersaing untuk mendapatkan peluang dan hak yang sama.
Biarpun ada peraturan sosial dan undang-undang bagi mengawal 'persaingan' ini, kadang-kadang terjadi juga pergeseran antara kaum hingga mencetus konflik kaum. Di Malaysia, Peristiwa 13 Mei 1969 dan terbaru di Kg. Medan 2001 adalah bukti kepada masalah hubungan antara kaum yang pernah wujud.
Peristiwa ini dan beberapa insiden lain beberapa tahun kebelakangan ini memberi isyarat yang tidak baik kepada kerajaan dan masyarakat kita. Bahaya sifat perkauman cukup besar untuk meruntuhkan sebuah negara jika tidak dibendung.
Ia boleh menjadi 'duri dalam daging' yang boleh merosakkan usaha kerajaan mewujudkan persefahaman antara kaum. Kita juga sedar memang wujud 'gunting dalam lipatan' dalam masyarakat kita.
Namun untuk menanganinya bukanlah mudah. Bahkan ia sangat sukar kerana pihak kerajaan kena berhati-hati dalam tindakannya berhadapan dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda perkauman.
Sebarang kesilapan di pihak kerajaan boleh mengundang padah yang lebih besar. Harga yang perlu dibayar ialah perpaduan masyarakat itu sendiri. Menyelesaikan kemelut sosial ini ibarat 'menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung pula tidak berselerak'.
Dengan alasan bahawa potensi perpecahan dan konflik antara kaum boleh tercetus lagi, maka generasi muda hari ini perlu dicelikkan tentang asal usul kelahiran negara ini. Tidak cukup untuk bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 untuk membendung penularan dan perebakan fahaman perkauman.
Ia berhajat kepada usaha yang lebih mendasar iaitu dengan memperkasakan pengajian sejarah. Peri pentingnya sejarah perlu disemai ke dalam minda pelajar. Petikan berikut menjelaskan kepentingan sejarah.
- If you want to understand today, you have to search yesterday. ~Pearl Buck
- Professor Johnston often said that if you didn't know history, you didn't know anything. You were a leaf that didn't know it was part of a tree. ~Michael Crichton, Timeline
- A nation that forgets its past can function no better than an individual with amnesia. ~David McCullough
- History is who we are and why we are the way we are. ~David McCullough
- History teaches us the mistakes we are going to make. ~Author Unknown
- History is a living whole. If one organ be removed, it is nothing but a lifeless mass. ~Frederic Harrison, The Meaning of History
Di peringkat pengajian tinggi kurikulum perlu diisi dengan kursus pemahaman perlembagaan sebagai dokumen Kontrak Sosial.
Dengan cara ini sistem pendidikan kebangsaan akan lebih holistik sifatnya. Ia melengkapkan lagi kurikulum di IPT yang selama ini sejak 1990-an lagi menerapkan sisi-sisi sains kemanusiaan bercorak sejarah dan kenegaraan.
Kini selain kursus Pengajian Islam/Moral, Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan Kenegaraan atau Pengajian Malaysia kursus Hubungan Etnik telah mula diajar sejak beberapa tahun lalu.
Biarpun pada awal pelaksanaannya tercetus kontroversi berhubung teks atau modul pengajaran kursus baru ini, namun berikutan 'campur tangan' pihak kerajaan akhirnya semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak, modul Hubungan Etnik yang dihasilkan oleh sekumpulan ahli dalam bidang Kenegaraan Malaysia telah diterima dengan sepakat.
Kini semua pelajar di IPT wajib mempelajari semua kursus di atas tanpa kecuali.
Jika tidak, menurut lisan Derek Heather 'To many of the modern generations, history, like God, is dead'. Saya percaya arah tuju masa depan sesebuah negara mesti dimulai dengan pemahaman jujur dan objektif sejarah bangsa dan negaranya.
Kepada generasi muda hari ini yang diulit oleh kemewahan kebendaan dan berfikiran liberal marilah 'kembali ke pangkal jalan'. Jalan yang akan menyuluh semula perjalanan hidup untuk menemukan semula akar budaya dan warisan peribadi bangsa kita.
Dengan fikiran yang kritis tapi kekal objektifnya, ilmu sejarah negara yang sebenar akan diperolehi. Masa depan negara bergantung kepada pemahaman sejarah yang benar. C.K.Chesterton menasihatkan kita 'We can be almost certain of being wrong about the future, if we are wrong about the past.'
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.©cikgubad,2009
No comments:
Post a Comment