
Satu kumpulan manusia dianggap seetnik kerana mereka mempunyai pertalian dan persamaan bahasa, adat resam, tradisi, agama atau kepercayaan hidup, sempadan geografi, keturunan (ancestry), kegiatan ekonomi atau gaya hidup.
Mereka menunjukkan budaya yang seragam atau hampir seragam di ruang (tempat) dan masa yang sama.
Kerana itu untuk mengenali sesuatu etnik itu ukurannya ialah pada kebiasaannya atau lumrahnya mereka mengatur dan menjalani kehidupannya. Dalam bidang sosiologi, ini dirujuk sebagai amalan budayanya - sama ada yang bersifat benda atau bukan benda.
Bagi orang Melayu sifat budaya etniknya – malah – ditentukan oleh undang-undang perlembagaan negara. Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia mendefinisikan ciri-ciri etnik Melayu “..orang Melayu ialah mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat budaya Melayu….”.
Manakala etnisiti pula adalah rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Ia wujud sebagai ‘social glue’ kerana persamaan sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku.
Ras
Istilah ini merujuk kepada sifat lahiriah-biologi semulajadi yang mudah diperhatikan pada seseorang atau sekumpulan manusia seperti warna kulit, warna mata atau rambut dan sebagainya.
Sekelompok manusia dikatakan seras atau dari kumpulan ras yang sama kerana mempunyai ciri-ciri fizikal genetik yang sama sebagaimana yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.
Perbezaan Etnik dengan Ras
Etnik itu merujuk kepada tradisi atau budaya – cara hidup yang dilalui atau dipamer seperti gaya berpakaian, bahasa pertuturan, perayaan yang disambut dan sebagainya. Untuk mengenali etnik kita perlu lebih teliti. Sifat etnik tidak terus kelihatan melainkan ia dipertunjukkan melalui cara hidup.
Ini berbeza apabila mengenali suatu ras. 'Pembaris sosial'nya berbeza.
Ras lebih mudah dikenali. Pengenalannya boleh berlaku secara langsung dengan melihat kepada rupa fizikal seseorang tanpa perlu mengetahui aspek budaya yang dizahir atau diungkapkan. Misalnya dengan melihat seseorang yang berkulit hitam dan raut wajahnya kita mudah mengecamnya sebagai seorang dari ras India. Ini kerana Melayu dan Cina mempamerkan cir-ciri ras yang jauh berbeza dengan ras India.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
No comments:
Post a Comment