Monday, July 27, 2009

Melayu Tidak Buruk Siku

Pandangan Dr Ridhuan Tee Abdullah dalam tulisannya bertajuk 'Nasib Melayu di bumi Melayu' dalam Mingguan Malaysia 26 Julai tersemat mesej mendalam terutamanya buat pejuang keadilan dari kalangan parti siasah bukan Melayu.

Mesej dan nada yang sama telah diluahkan lebih awal oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya bertajuk 'Kaki dalam Kasut' bertarikh 20 Julai.

Pernyataan berani dan terus terang itu menyentuh perasaan saya sebagai orang Melayu. Saya percaya ramai yang sebangsa dengan saya berkongsi kebimbangan dan rasa sedih dua orang tokoh - seorang Cina Muslim, manakala seorang lagi Melayu Muslim - dengan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang.

Mari kita berhenti berprasangka dan kembali waraskan diri wahai rakyat Malaysia.

Bagi masyarakat bukan Melayu amnya mereka harus bermuhasabah. Carilah keinsafan diri agar kembali beramal dengan pesanan peribahasa lama Melayu 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar'.

Kepada semua termasuk orang Melayu juga marilah kita rasa insaf dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Tidak patut terjadi orang Melayu dan bumiputera terpinggir di bumi sendiri hanya kerana orang bukan Melayu mahukan keadilan (mengikut ukuran dan definisi mereka) di bumi bertuah ini.

Orang Melayu tidak mahu menjadi bangsa yang 'buruk siku' - mengungkit pemberiannya dahulu kepada orang bukan Melayu. Jadi, saling menerima dan saling memberilah sesama kita. 

Saya percaya kuasa politik tidak harus diserahkan kepada bukan Melayu sekurang-kurangnya dalam tempah 3-4 dekad lagi. Ini bukanlah suatu kenyataan semborono yang rasis.

Ada sebabnya. Pengorbanan memang berlaku di dua belah pihak. Namun bagi orang Melayu pengorbanan mereka selalu dilihat bersifat sejarah dan tidak perlu disebut-sebut lagi. 

Benarkah begitu?

Orang Melayu memang bangsa yang toleran dan gemar mengambil sikap mengalah. Malangnya sikap ini menyebabkan orang Melayu banyak memberi untuk rakan senegaranya yang lain. Ibarat 'kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar mati kelaparan' orang Melayu terus kehilangan hak peribuminya di sisi perlembagaan.

Ini kerana - dari sudut kebendaan - dalam keadaan Perlembagaan Persekutuan yang tidak diubah dan orang Melayu menerajui kepimpinan negara pun, orang bukan Melayu masih terus menguasai 'kek ekonomi' negara. Dominasi ekonomi bukan Melayu ini adalah kesinambungan pencapaian semenjak 1957 lagi. Dan prestasi mereka tidak pernah merosot!

Walaupun Dasar Ekonomi Baru telah tamat pada 1990 dahulu, pemilikan ekuiti Melayu/Bumiputera masih di paras bawah 20%. Sedangkan ekonomi faktor utama perubahan dalam masyarakat, apakah kini - ketika orang Melayu dikatakan lemah - kuasa politik harus diserahkan kepada bukan Melayu pula?

Semua pihak patut faham apa yang boleh dilakukan dengan kuasa politik bila jatuh ke tangan orang yang opurtunis atau yang ada agenda sempit untuk menjaga kepentingan kumpulan mereka.

Formula perkongsian kuasa dalam Perikatan dan kini Barisan Nasional sudah cukup menjadi testimoni kerukunan hidup semua kaum di negara kita. Jika Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pun formula serupa harus diamalkan tetapi mestilah jauh lebih baik dari apa yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional.

Orang Melayu tidak patut mengalami perkara ini iaitu 'Bumi dipijak milik orang lain'.

Kepada bukan Melayu pula ingatlah  'Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung'.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...