Wednesday, July 29, 2009

Tugasan Bakal Tiba - Amaran Jangan Plagiat!

Jika adalah satu saat yang paling sukar dan mencabar bagi pelajar, saat itu ialah apabila menerima soalan tugasan Pengajian Malaysia. Ia akan menjadi satu pengalaman yang paling rumit sepanjang pengajian diploma mereka. Beban dirasakan amat berat.

Yalah soalan esei bukanlah soalan objektif - ada 4 pilihan jawapan. Tembakpun boleh kena! Soalan esei adalah soalan subjektif yang paling susah. Soalannya mungkin pendek tapi di sebaliknya tersirat 'macam-macam arahan' untuk disempurnakan. Ia kerja akademik yang perlu ditekuni sejak hari pertama dapat soalan. Ia adalah suatu bentuk penyelidikan (research) pada skala kecil.

Dan pada semester ini kursus Hubungan Etnik bagi pelajar DKTM akan terima beban sama!

Saya tidak pasti dengan tugasan kursus-kursus lain. Tapi bagi kursus wajib MQA ini disiplin menulis mengikut kaedah ilmiah sangat dititik beratkan. 

Pelajar perlu dicelik dan diperingatkan bahawa esei bukanlah tulisan sembarangan. Ia bukan seperti menyiapkan karangan atau folio kajian tempatan di sekolah dahulu. Pelajaran di sekolah jauh lebih mudah berbanding di kolej atau universiti.

Beberapa aspek perlu diteliti. Ia meliputi segi teknikal dan bukan-teknikal. Ini adalah sisi-sisi penting yang pelajar abaikan atau tidak jelas semasa memulakan penulisan.

Aspek teknikal banyak sekali. Ia adalah tentang format penulisan seperti font dan saiz, spacingalignment, nombor muka surat, penulisan nota kaki/hujung, dan bibliografi. Cara menulis muka depan esei juga perlu betul dari segi maklumat atau butiran yang perlu diletakkan.

Nah kan banyak perkara perlu diletakkan dalam esei ini! 

Esei yang telah siap hendaklah dihantar dalam bentuk comb binding, atau pita yang dirapikan. Jika nak cover plastik lagi baik. Aspek kekemasan begini perlu. Saya takkan terima esei yang hanya distaplekan. Malas betul pelajar yang hantar esei dalam bentuk begini.

Satu lagi ialah peraturan teknikal yang perlu dipatuhi - sekurang-kurangnya bagi 'mazhab' penulisan saya - ialah esei perlu bebas dari elemen dekoratif. Jika ada pun ia perlu digunakan secara minima. Kreativiti tidak sangat diraikan pada esei. Lainlah jika pelajar membuat pembentangan nanti. Masa tu kreativiti sangat membantu penyampaian pelajar. Ia perlu 'menangkap' perhatian khalayak pendengar dalam masa yang singkat. Justeru, kreativiti penting ketika pembentangan. Semasa menulis pemikiran kritis yang lebih penting.

Penulisan ilmiah hanya mengizinkan dua warna sahaja iaitu hitam untuk warna teks, manakala putih pula warna latar pada kertas yang digunakan. Melainkan pada gambar - jika perlu - tiada warna lain dibenarkan. 

Pelajar perlu diperingatkan bahawa sebarang hiasan untuk menimbulkan 'first impression' tidak diambil kira dalam penulisan akademik. Kesan pertama penulisan hendaklah dibuat seawal di bahagian 'Pendahuluan' atau 'Pengenalan' tajuk. Cara penulisan 'Pengenalan' yang baik mampu menarik perhatian pembaca.

Selepas itu penulisan akademik hanya mengutamakan premis/hujah dan isi-isi yang dikemukakan pelajar bagi menjawab persoalan yang tersurat atau tersirat pada soalan.

Hiasan hanya elemen kosmetik. Ia sentuhan luaran. Premis dan isi-isi esei adalah bersifat dalaman. Ibarat body dan budi. Yang mana lebih penting?

Manakala aspek bukan-teknikal pula merangkumi kemahiran memilih bahan yang sesuai, kemahiran menyaring maklumat, kemahiran menganalisa, kemahiran membuat petikan dan memparafrasa (paraphrasing), kemahiran membuat petikan -langsung atau tidak.

Semua ini perlu dibuat untuk pelajar mengutip fakta dan maklumat yang sesuai sahaja bagi menyokong pendapat dan kesimpulan akhir esei.

Oleh itu bagi meningkatkan peluang menjumpai fakta dan maklumat yang sesuai dan tepat pelajar wajib membaca banyak bahan sama ada bercetak - seperti buku, jurnal, artikel - atau bahan elektronik - seperti bahan diinternet dan CD-ROM.

Namun esei itu tidak boleh hanya sarat dengan fakta, petikan-petikan tanpa ulasan atau pandangan pelajar sendiri. Dengan kata lain tiada analisis (asli) oleh pelajar.

Ingat bahawa fakta-fakta yang banyak akan bersifat ‘kaku’ jika tidak diberikan tafsiran atau ulasan oleh pelajar bagi menjelaskan suatu isu atau persoalan yang ditimbulkan dalam esei. 

Facts mean nothing unless they are rightly understood, rightly related, and rightly interpreted.” R.L. Long

Justeru, berfikirlah dan cambah serta kembangkan idea anda sendiri untuk memberi makna dan pengertian kepada semua fakta yang dikemukakan.

Ingat pelajar perlu faham apa yang ditulis, dan pembaca terutamanya pensyarah juga perlu juga difahamkan. Ia bukan nota kuliah yang bersifat personal!

Seperkara yang penting juga ialah kemahiran berbahasa. Tanpa mengetahui tatabahasa yang betul, penggunaan istilah yang sesuai, dan 'koleksi' perbendaharaan kata yang banyak, esei akan ditulis dengan cara yang menjemukan, dan sarat kesalahan remeh seperti ejaan, penggunaan istilah, kesilapan nahu, ketiadaan perenggan dan banyak lagi. 

Termasuk dalam aspek bukan-teknikal ialah bekerja dalam kumpulan. Ia pengalaman yang sangat menguji pelajar nanti apabila tiada kerjasama sesama ahli kumpulan. Masalah timbul selepas pengagihan tugas diberikan kepada semua ahli kumpulan.

Dah lumrah akan wujud ahli yang opurtunis dan malas - sekadar jadi 'penumpang' atau sleeping partner. Silap haribulan hanya ketua saja yang buat kerja, yang lain hanya bagi duit untuk beli kertas dan bayar kos cetak.

Oleh itu, ketua kumpulan mestilah boleh bertegas untuk 'mengawal' ahli kumpulannya. Jika tidak masalah besar timbul pada minit-minit terakhir penyerahan tugasan.

Pendeka kata, menulis esei memerlukan pelbagai kemahiran. Sebab itu tidak cukup dengan hanya pandai membaca saja untuk menyiapkan esei setebal 25-30 muka surat.

Sebelum mengakhiri entri kali ini saya tinggalkan pesan ini. Pelajar jangan jadikan amalan 'copy and paste' atau plagiat untuk memudahkan kerja penulisan esei ilmiah. Ia satu 'dosa' akademik. 

Saya mudah mengesan amalan jenayah akademik ini. Banyak ciri 'lemah' ini ditunjukkan pelajar tanpa mereka sedari. Pelajar tidak bijak menyorokkan amalan ini. 'Yang jauhari akan mengenal maknikam'! Pensyarah yang berpengalaman boleh mengesan amalan tidak sihat ini dengan mudah. Bak kata pepatah 'sekilas ikan di air dah tau jantan betinanya'.

Pelajar sepatutnya belajar menajamkan fikiran bukan menumpulkannya dengan kaedah jalan pintas.

Menginsafi fenomena buruk ini, Andrew Keen dalam bukunya ‘The Cult of Amateur: How Today’s Internet is Killing Our Culture and Assaulting Our Economy’ menyatakan :

“The fact is that co-opting other people’s creative work – from music file sharing, to downloading movies and videos, to passing off others’ writing as one’s own – is not only illegal, in most cases, but immoral. Yet the widespread acceptance of such behaviour threatens to undermine a society that has been built on hard work, innovation, and the intelectual achievement of our writers, scientists, artists, composers, musicians, journalists, pundits and moviemakers.”

Kini plagiarisme menjadi mudah dan terus menjadi-jadi apabila kemudahan internet menerjah ruang maya kita. 

Mengenai amalan plagiarisme melalui bahan-bahan di internet, dalam satu kajian ke atas 50,000 siswa oleh Center for Academic Integrity Amerika Syarikat pada Jun 2005 mendapati :

“.. 70% of college students admitted to engaging in some form of cheating; worse still, 77% of college students didn’t think that Internet plagiarism was a “serious” issue. This disturbing finding gets at a grave problem in terms of Internet and culture : The digital revolution is creating a generation of cut-and-paste burglars who view all content on the Internet as common property.”

Jadi pelajar elok ambil 'pot' dengan penegasan saya ini. Isu plagiarisme adalah isu di semua pusat pengajian tinggi. Jumpa tak jumpa je! Majalah Milenia terbitan Ogos 2009 edisi internet ada menyentuh tentang gejala ini dengan tajuk 'Plagiarisme : Barah Dunia Kampus'.

Biarpun menulis esei ini susah tetapi bagi yang bersungguh, dedikasi dan mematuhi disiplin yang ditetapkan, pengalaman yang dikutip akan melengkapkan lagi kemahiran insaniah atau soft skill pelajar. Ia akan berguna semasa pelajar melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kelak.

Lagi pun inilah peluang yang terbaik untuk pelajar skor markah yang tinggi kerana tempoh masa yang panjang memberi ruang dan peluang yang besar untuk pelajar menghasilkan esei yang mantap. Nak harapkan markah tinggi untuk ujian akhir belum tentu. Bukanlah jauh panggang dari api, tetapi tidak ramai pelajar boleh menjawab soalan esei dengan baik. Sudahnya ramai yang dapat markah minima bahagian esei.

Saya bukan minta esei disiapkan seminggu tapi 9 hingga 10 minggu selepas tajuk diberikan. 

Takkan tak cukup kot!

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...