Wednesday, July 29, 2009

Penulisan Ilmiah : Karya yang Bukan Sembarangan

Menulis adalah sebahagian aktiviti wajib seorang pelajar. Lebih-lebih lagi bagi pelajar di IPT. Banyak bentuk penulisan terpaksa dihasilkan untuk memenuhi syarat lulus kursus. Ada yang berbentuk esei, laporan kajian dan kertas kerja hinggalah ke tesis atau disertasi.

Semua penulisan ini mestilah ditulis secara ilmiah. Ini menjadi beban akademik kerana karya ilmiah menuntut pemikiran yang kritis. Ia juga perlu disaratkan dengan fakta, teori, konsep bagi menyokong premis penulis.

Ini bukanlah kerja mudah dan disukai pelajar. Kerana nak cepat siap atau miskin kefahaman mengenai 'apa itu tulisan ilmiah' pelajar lebih senang 'copy and paste' bahan dari buku atau internet.

Malangnya mereka tidak sedar bahawa satu jenayah akademik iaitu plagiat telah dilakukan walaupun tanpa disengajakan.

Bagi membantu pelajar mendapatkan gambaran dan mengasah kemahiran menulis secara ilmiah, pelajar perlu mencari maklumat mengenai 'apakah dan bagaimanakah suatu penulisan ilmiah dapat dihasilkan'. Bahan-bahan mengenainya banyak terdapat di internet tetapi agak kurang di pasaran biasa. Jika ada pun sedikit yang ditulis dalam bahasa kebangsaan. 

Saya sendiri telah menghasilkan sebuah buku bertajuk 'Panduan Penulisan Ilmiah : Esei' bagi membantu pelajar mendapatkan pendedahan awal mengenai kaedah penulisan ilmiah di IPT. Harapan saya adalah agar pelajar memahami maksud penulisan ilmiah, menghargainya dan berusaha untuk mendisiplinkan diri kerana penulisan ilmiah adalah kerja pemikiran yang menuntut dedikasi dan ketekunan yang tinggi.

Pelajar boleh menempah buku ini dari saya jika berminat.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...