Mari kita fahami bait-bait puisi nukilan Hartini Omar yang memperihalkan siapakah Melayu dengan menggunakan gadis sebagai subjeknya.
Naskah jiwa ini begitu indah dan halus – bersesuaian dengan budi Melayu.
Saya menyalin semula puisi ini juga kerana ia mempunyai kaitan dengan tajuk Etnik – satu bab dalam kursus Pengajian Malaysia. Dalam Perkara 160(2) orang Melayu ditakrifkan dengan empat (4) ciri utama di mana salah satu daripadanya ialah orang Melayu itu mengamalan adat budaya Melayu. Selain Melayu, kaum-kaum lain tidak disebut akan takrifannya baik dari segi etnik atau pun rasnya di dalam mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sajak berikut yang dinukilkan dengan gaya kreatif dan berseni oleh Hartini mengungkapkan satu lagi sisi penting dalam kehidupan manusia. Sisi itu suatu yang halus kerana ia menyentuh tentang budi dan keperibadian orang Melayu.
Pendekatan begini dapat menyentuh sisi penting insan iaitu emosi selain mengisi logika intelek.
Disalin semula dari blog cikgubad.wordpress.com - dengan sedikit suntingan ; February 19, 2009...8:27 pm
- Melayu…
Gadis, mana melayumu?
Adakah pada lunaknya suara,
Yang sayup ke gegendang telinga
Atau pada moleknya wajah,
Yang tersenyum pada jejaka
Gadis, bila melayumu?
Adakah bila orang bertandang,
Lalu tersipu kau duduk bersimpuhan
Atau kala bulan mengambang,
Lalu berdendang kau rayu bulan
Gadis, apa melayumu?
Adakah pada barisan nama
Yang hulu ke hilir kau bawa
Atau pada hitamnya warna
Rambut kau sanggul bagai mahkota
Gadis, bagaimana melayumu?
Adakah dengan berbatik kebaya
Lalu menyantun bila dipuja
Adakah hanya mengaji membaca
Lalu melayu dirimu dikata
Melayu bukan hanya pada wajah
Yang ayu berkebaya, yang molek berbatik jawa
Melayu bukan hanya pada suara
Yang lunak berpantun, yang leka bergurindam seloka,
Melayu bukan hanya pada laku
Yang diam tersipu, yang layu menunduk bisu
Melayu itu jatidiri
Setulus seikhlas hati
Melayu itu seluas pandang
Biar tiada berhias barang
Biar tiada beremas jelang
Biar tiada bersimpuh silang…
Hartini Omar (31/10/2008) - Ceritera Yang Tak Sudah (hartiniomar.blogspot.com)
No comments:
Post a Comment