Thursday, July 23, 2009

Suruhanjaya Diraja Kes Kematian Teoh Beng Hock

Kematian mengejut Teoh Beng Hock, 30, - setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - selepas tamatnya sesi awal soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM - dulu BPR) ke atasnya pada Khamis 16 Julai lalu  telah mencetuskan reaksi awam dan juga parti siasah pembangkang.

Oleh kerana cara kematiannya - seorang ahli parti DAP - berlaku secara mengejut dan penuh teka-teki, banyak pihak telah mendesak agar kerajaan segera mewujudkan sebuah suruhanjaya diraja untuk mencari jawapan ke atas misteri kematian Teoh.

Mendiang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam Khamis lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dari petang 15 Julai hingga ke keesokan paginya berhubung dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM.

Teoh disiasat sebagai saksi (bukan sebagai suspek) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor. Untuk rekod DUN Selangor dikuasi oleh kerajaan dari Pakatan Rakyat pasca-PRU 12.

Menyedari bahawa kes ini mempunyai nilai kepentingan awam dan keperluan segera untuk diselesaikan, maka semalam 22 Julai Kabinet dalam mesyuarat mingguannya telah memutuskan (Malaysiakini, 22 Julai) 3 perkara penting berhubung dengan kes ini:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.

Ada beberapa perkara utama dalam kes ini yang berkaitan dengan kursus Pengajian Malaysia.

Pertama, suruhanjaya diraja bagi kes kematian Teoh ini adalah suruhanjaya sementara berdasarkan sifat dan cara serta alasan penubuhannya. 

Kita teliti kenyataan Perdana Menteri berhubung hal ini (Bernama, 22 Julai) :

"Kabinet turut memutuskan satu suruhanjaya diraja diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Teoh bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi."

Jelas dengan objektif khusus penubuhan suruhanjaya diraja, punca kematiannya pula akan diselesaikan oleh inkues awam yang akan diketuai oleh seorang majistret.

Mengapa perlunya suruhanjaya diraja ini ?

Sebagaimana kebiasaan, ia diperlukan agar siasatan dapat dibuat secara menyeluruh dan telus untuk mengumpulkan semua bukti yang berkaitan tanpa sebarang sekatan dan campur tangan pihak luar termasuk pihak eksekutif. 

Badan ini juga diberi kebebasan tetapi tertakluk kepada terma-terma rujukan yang ditetapkan kerajaan agar ia menjurus kepada pokok objektif penubuhannya dan tidak kepada perkara-perkara lain.

Beginilah cara pengendalian dan operasi semua suruhanjaya diraja sebelum ini. Misalnya :

  • Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis ('Royal Commission to Enhance the Operation and Management of the Royal Malaysia Police‘) khusus meneliti aduan orang awam berhubung keganasan polis dan rasuah yang meluas di kalangan anggota PDRM. 
  • Suruhanjaya Suruhanjaya Diraja kes pita video Lingam (lantik hakim)
  • Suruhanjaya Siasatan ke atas kecederaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis dahulu (1998). 
  • Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Keselamatan Sekolah-Sekolah Swasta dan Agama di Semenanjung Malaysia yang menjalankan kajian dalam tahun 1987 ekoran kebakaran sebuah Sekolah Agama Rakyat di Yan, Kedah yang meragut 20 nyawa

Kedua, suruhanjaya sementara di atas berbeza dengan suruhanjaya tetap dari segi tempoh kewujudannya di mana suruhanjaya diraja hanya wujud untuk satu tempoh yang tertentu sahaja. Sebaik sahaja ia selesai menjalankan tanggungjawabnya ia akan dibubarkan. 

Sementara suruhanjaya tetap ia wujud untuk tempoh yang lebih panjang bahkan mungkin selama-lamanya kerana ia menguruskan perkara-perkara yang berlaku secara berterusan (bukan sekali sekali atau berlaku secara tiba-tiba).

Contoh suruhanjaya tetap adalah :

  • Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Penghakiman dan Perundangan,
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Polis,
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Kereta Api,
  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),
  • Majlis Angkatan Tentera
  • Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan
  • Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)

Namun suruhanjaya ini - tetap atau sementara - di sisi perlembagaan ditubuhkan oleh YDPA atas nasihat kerajaan (eksekutif) dan ahlinya dilantik oleh YDPA.

Ketiga, di sini kita juga melihat kaitannya dengan tajuk peranan YDPA yang mempunyai kuasa melantik ahli-ahli suruhanjaya sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan.

Keempat, pihak eksekutif dibenarkan oleh perlembagaan untuk menubuhkan suruhanjaya bagi memenuhi hak awam untuk mengetahui perkara sebenar di sebalik suatu peristiwa yang mempunyai nilai kepentingan awam apabila ia membabitkan dakwaan kemungkinan wujudnya salah laku pihak eksekutif atau agensinya.

Dengan kaedah ini sesiapa yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan. Ini yang terjadi apabila Ketua Polis Negara (ketika itu tahun 1997) Tan Sri Abd. Rahim Noor didapati bersalah memukul Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis lalu beliau diheret ke mahkmah untuk disabitkan kesalahan dan menerima hukuman. Tiada mana-mana pihak dapat menyorokkan kebenaran apabila suruhanjaya diraja menemukan bukti dan fakta sebenar kes.

Atau jika punca masalah telah dikenal pasti penyelesaian akan dicadangkan agar masalah sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.


-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.©cikgubad,2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...