Friday, July 10, 2009

Kenegaraan Malaysia : Suatu Pengenalan

Kursus ini yang juga disebut sebagai Pengajian Malaysia - mengikut silibus MQA - mendedahkan fakta evolusi kelahiran sebuah negara di Tanah Melayu. Sorotan dibuat ke atas era Kesultanan Melayu Melaka kemudian era penjajahan hinggalah era kemerdekaan (Bab 4, 5 dan 6).

Tidak semata-mata bersifat sejarah, kursus ini juga meliputi isu dan perkembangan semasa yang berkisar tentang proses politik dan sosial. Fakta ini menolak tanggapan bahawa kursus ini adalah kursus sejarah semata-mata. Justeru, pelajar perlu melihat kursus ini dari pelbagai sudut secara holistik untuk memahami maksud ‘Kenegaraan atau Pengajian Malaysia’ dan tidak disempitkan oleh fakta dari ‘memori’ sejarah.

Liputan mengenai fakta bukan sejarah merujuk kepada isu-isu kontemporari berkisar hal ehwal politik, sosial dan ekonomi. Dalam konteks politik peranan pihak eksekutif dalam memerintah negara terutamanya dari segi penggubalan dasar dan pelaksanaannya akan diberikan keutamaan. Penekanan akan juga diberikan kepada asas kenegaraan seperti perlembagaan (Bab 7), sistem demokrasi berparlimen (Bab di samping tidak melupakan institusi Raja-raja Melayu dalam konteks negara Malaysia moden (Bab 7). Aspek pentadbiran negara diperincikan lagi dalam tajuk Sistem Pemerintahan dan Struktur Pentadbiran Negara (Kabinet, Bab 9), Suruhanjaya (Bab 10) dan Kerajaan Tempatan (Bab 11).

Aspek sosial disentuh dalam tiga tajuk baru – hasil penggubalan semula silibus LAN – iaitu Bab 1 Masyarakat, Bab 2 Budaya dan Bab 3 Hubungan Etnik selain Bab 13 Dasar Sosial negara. Berbetulan dengan perkembangan dewasa ini terutamanya di era Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dan kesan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, di mana wujudnya kecenderungan pihak-pihak tertentu membincangkan kontrak sosial secara terbuka dan ‘telus’ maka tajuk-tajuk ini wajar diperhalusi dengan tumpuan yang khusus dan didekati menggunakan kaca mata yang objektif agar persepsi pelajar dimurnikan apabila membincangkan isu-isu yang sensitif seperti agama, hak istimewa kaum natif dan kesetiaan kaum imigran terhadap Raja dan negara ini (Bab 7).

Manakala aspek ekonomi dan isu yang berkaitan dengannya dibincangkan dalam Bab 14 Dasar Ekonomi.

Sebagai tambahan kepada silibus ini, beberapa tajuk lain yang difikirkan berkaitan untuk melengkapkan kefahaman pelajar terhadap isu politik dan sosial turut diselitkan di antara atau di dalam bab-bab yang telah disenaraikan. Pendekatan sebegini adalah sebagai mengambil peluang kepada pendemokrasian ilmu dan keterbukaan kita kepada isu-isu hak asasi dan masyarakat madani (civil society). Tajuk-tajuk tersebut ialah Doktrin Pengasingan Kuasa, Kehakiman, Sistem Fedaralisme (Persekutuan), Rukunegara dan Perpaduan dan Integrasi Nasional.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...