Friday, July 10, 2009

Kekeliruan Mengenai Kenegaraan Malaysia

Ramai yang keliru mengenai kursus Pengajian Malaysia sebagai kursus sejarah. Tidak terkecuali ialah seorang bekas profesor Sejarah yang pernah menemuduga saya untuk jawatan pensyarah Pengajian Malaysia di kolej yang diterajuinya.

Kerana latar belakang saya adalah dalam bidang sains gunaan (sains nuklear) maka menurut Profesor tersebut saya tidak mampu mengajar kursus ’sejarah’ ini. Sayangnya kerana kepenatan menunggu untuk ditemuduga sejak seawal 8.30 pagi hinggalah jam 5.00 petang saya tidak lagi berdaya untuk berhujah dan menegakkan pendirian saya. Puas saya diperlekehkan kerana pengetahuan saya adalah setakat di permukaan sahaja (surface).

Tapi ini adalah pendapat saya mengenai kursus yang sangat ‘hidup’ ini – pandangan yang berbeza dengan beliau.

Sebenarnya kursus ini hanya mempunyai 3 bab sahaja yang betul-betul mengenai peristiwa silam atau yang kita sebutkan sebagai sejarah itu iaitu Bab 4 Penjajahan Tanah Melayu, Bab 5 Perjuangan Kemerdekaan dan Bab 6 Gagasan dan Penubuhan Malaysia.

Manakala bab-bab lain menyentuh isu-isu semasa sama ada politik, sosial atau ekonomi. Hanya di tempat-tempat tertentu dalam bab-bab ini aspek sejarah – apabila berkaitan – disoroti dan ditekankan.

Justeru, kursus Pengajian Malaysia adalah kursus bersifat sejarah dan bukan sejarah. Kepentingannya adalah jelas dalam membina negara-bangsa Malaysia yang dicita-citakan oleh pihak kerajaan.

Dalam suasana sekarang yang lebih terbuka dan pemikiran masyarakat yang lebih kritis, kursus ini memang kelihatan amat signifikan. Ia jika dipelajari dengan objektif boleh memurnikan pemahaman isu-isu besar dan genting dalam masyarakat kita seperti Kontrak Sosial, Doktrin Pengasingan Kuasa, Perlembagaan dan Insitusi Raja-raja Melayu.

Hasil pemahaman yang betul pelajar dapat menyediakan diri ke arah mewujudkan masyarakat madani (civil society) yang menjadi asas kepada convencia sejagat.

Jika diteliti kursus ini mirip kursus Pengajian Am. Tetapi skop dan penekanannya adalah lebih rendah berbanding Pengajian Am yang dipelajari di Tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas. Kursus Pengajian Malaysia hanya diajar dalam 1 semester sahaja iaitu kira-kira 14 minggu.

Bagi membolehkan pengajaran yang berkesan, pengetahuan pensyarah perlulah menyeluruh meliputi 3 aspek besar iaitu politik, ekonomi dan sosial.

Asas sejarah tanah air yang kukuh akan banyak membantu kerana sebahagian Malaysia hari ini adalah hasil daripada ‘pemikiran, perbuatan dan tinggalan’ masyarakat Melayu era klasik dahulu.

Justeru, pensyarah perlu memewahkan mindanya dengan ilmu sejarah dan perkembangan semasa.

Para pelajar kelak akan sangat menghargainya apabila pensyarah berkongsi ilmu dan maklumat dengan mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...