Sunday, July 26, 2009

Jangan Abaikan Sastera! Ia Lebih Manusiawi

"Sekali seseorang menemukan kehidupannya maka tidak satu pun mampu memuaskannya selain ilmu, seni dan agama..." Anton Chekov

Petikan di atas bukan lahir dari lisan seorang nabi. Saya memetiknya dari seorang penyair bernama Anton Chekov yang beliau nukilkan dalam sebuah puisi yang kemudian dipetik oleh Jujun S. Suriasumantri untuk bukunya bertajuk 'Ilmu dalam Perspektif Moral, Sosial dan Politik', terbitan DBP tahun 1990.

Kita tidak wajib mengimaninya. 

Namun, kita boleh akur bahawa ada nilai sejagat yang boleh dijadikan pedoman. Terutamanya untuk remaja yang sedang membesar dalam persekitaran yang sarat ujian. Pesona duniawi sering memesongkan kiblat kehidupan para remaja yang mencari-cari identiti diri.

Saya ingin pesanan dari pujangga Barat ini ditekuni sebentar oleh kita semua. Mari kita luangkan sedikit masa yang kian cepat berlalu ini untuk 'kembali' menginsafi peri pentingnya bidang sastera (atau seni) - yang dilupakan oleh sebahagian besar daripada kita termasuk mereka yang bergiat dalam lingkungan pendidikan.

Barangkali manusia sudah hilang budi dan kemanusiaan kerana terlalu mementingkan bidang sains dan teknologi dan mengejar kebendaan.

Saya bimbang pendidikan kita telah gagal melahirkan pelajar yang kaya budi. Saya tidak pernah berbangga dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang sebagaimana berbangga dan tersentuhnya saya dengan kehadiran pelajar-pelajar yang berkeperibadian mulia dan beradab sopan. Ini kerana keperibadian atau akhlak tidak boleh dicerminkan dan diukur oleh keputusan peperiksaan. 

Sahsiah diri adalah realiti 'siapakah diri seseorang itu' dari segi tingkah laku, pertuturan, pergaulan dan gaya hidup pelajar. Ia tidak boleh disorokkan. Ia suatu yang telah sebati dan terbatin dalam diri seseorang. Justeru lambat laun 'the true colours of their skin' akan terzahir juga.

Angka dalam slip keputusan peperiksaan adalah teks yang yang kaku. Maklumat ini sukar untuk dikorelasikan dengan penampilan sahsiah pelajar. Ia lebih sukar dalam situasi atau konteks hari ini. 

Hari ini saya selalu bersedih kerana selalu melihat kemiskinan budi dan kemanusiaan di depan mata saya. Ramai yang biadap dari beradap, ramai yang kurang ajar daripada yang cukup ajarnya.Remaja atau pelajar hari ini lebih memustahakkan kekayaan 'body'nya daripada kemewahan budinya.

Kembali kepada peranan bidang sastera - dan disempurnakan oleh agama - , ia menurut saya menyentuh sisi paling dalam dalam diri manusia. Tidak seperti disiplin sains, ia bisa memberi makna kemanusiaan dan ketuhanan. Ia membangun jiwa manusia yang halus. Pengertian yang dibawanya menyempurnakan maksud sebenar pendidikan yang bersifat holistik.

Sastera sahaja - selain suluhan wahyu Tuhan dan pedoman nabi -  yang boleh membangunkan aspek emosi dan rohani pelajar, sebagaimana yang disuratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Semua pendidik di negara kita tahu tentang ini (JERI - Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek) tetapi hanya sedikit yang menghayatinya dalam sesi Pnp mereka.

Mesej mengenai 'jangan abaikan sastera' ini tidak boleh diabaikan. Saya merayu kepada semua terutamanya pelajar saya agar merenung ke dalam diri masing-masing untuk mencari kebenaran mesej ini.

Latar budaya Anton Chekov memang berbeza dengan kita. Dia orang Barat/Eropah. Kita pula orang Timur. Tapi nilai yang baik - kejujuran, keiklasan, pandang semesta tentang pendidikan yang holistik - adakalanya bersifat sejagat. Jelas di sini di sebalik perbezaan antara kita dengan mereka, masih ada persamaan untuk kita 'raikan' bersama.

Dalam keadaan manusia hari ini yang condong kepada kebendaan atau materialisme, pesan ini sangat wajar diberikan perhatian berat terutamanya para pendidik.

Kepada khalayak pembaca, mengertikanlah sambungan nasihat Anton Chekov di dalam puisinya ini. 

Bacalah puisi anakku
Setelah belajar Matematik;
Bacalah doa
Dalam kekerasan usaha;
Jadilah manusia
Bukan robot tidak berjiwa!

Sesungguhnya sains memudahkan kehidupan kita. Sastera pula memanusiawikan kita.

Namun agamalah yang mengawal semuanya.

Disunting semula dari posting dalam blog cikgubad.wordpress.com bertajuk 'Jangan Abaikan Sastera' Disember 8, 2008

-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...