Namun berbanding agama-agama lain Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang.Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama bukan Islam kepada khalayak Islam adalah dilarang. Pengecualian diberikan kepada penyebaran syiar dan dakwah Islam.
Sebab itulah berita dan perkembangan syiar Islam disiarkan media dengan meluas dan terbuka. Manakala institusi Islam seperti Majlis agama Islam negeri, agensi berasaskan Islam di bawah naungan kerajaan, siaran radio Islam IKIM.fm dan lain-lain lagi dibenarkan beroperasi dalam ruang lingkup negeri dan nasional. Sesiapapun tidak boleh mempertikai perkara ini kerana ia adalah terjemahan kepada maksud Perkara 3, dan Perkara 11 perlembagaan persekutuan.
Dengan alasan inilah, maka 9 orang telah ditahan kerana didakwa cuba menyebarkan atau melakukan dakwah kristian ke atas pelajar UPM semalam.
Berikut adalah petikan laporan Wong Pheak Zern dari Malaysiakini, Jul 15, 09 1:37pm:
Sembilan penganut Kristian termasuk dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ditahan polis semalam berhubung dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut.
Sumber-sumber pelajar memberita Malaysiakini hari ini, kumpulan itu berada beberapa hari di beberapa kolej kediaman UPM dengan bergerak dari bilik ke bilik untuk menyampaikan ajaran mereka.
Selain itu, mereka juga didapati menyebarkan risalah kepada warga kampus dan bergerak di tiga buah kolej iaitu Kolej Pendeta Zaaba, Kolej Sepuluh, dan Kolej Sebelas," kata Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM Safwan Abdul Ghani dalam satu kenyataan.
"Aktiviti yang berlaku beberapa hari itu akhirnya membawa kepada penangkapan sembilan individu tersebut."
Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi diperolehi daripada pihak universiti dan polis, setakat ini.
Undang-undang negara melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim.
Jika laporan berita ini mempunyai keesahannya dan dakwaan penyebaran dakwah kristian adalah benar dan boleh disabitkan di sisi undang-undang negara, maka langkah pihak berkuasa boleh dipertahankan. Sementara pihak berkenaan mestilah dihukum kerana melanggar undang-undang utama negara menurut Perkara 11 (4) dan akta atau enakmen negeri Selangor berkaitan berhubung penyebaran dakwah agama bukan Islam kepada orang Islam.
Dalam situasi di mana perbincangan terbuka mengenai isu sensitif semakin menjadi-jadi pasca-PRU 12 diharap isu ini dapat menyedarkan semua pihak bahawa ada perkara yang menjadi teras dalam masyarakat tidak boleh diusik atas semangat mematuhi semangat dan maksud Kontrak Sosial 1957.
Satu mesej tegas perlu disampaikan melalui hukuman yang setimpal. Berhujah atas nama hak asasi dan keadilan atau kesamarataan hak untuk menyebarkan dakwah kristian sebagaimana dakwah Islam tidak tertakrif dalam konteks perlembagaan negara.
Islam di Malaysia adalah agama rasmi dan ia dilindungi untuk menjamin kesucian dan kelangsungannya di bumi bertuah ini.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
----------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.
No comments:
Post a Comment