Saturday, July 25, 2009

Majlis Raja-rajalah yang Berkuasa

Keputusan kabinet (eksekutif) 22 April lepas bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain telah mengundang kontroversi kepada mereka yang memahami isu perlembagaan. Ia juga boleh memberi kesan kepada keutuhan institusi kekeluargaan Islam.

Isu ini juga dilihat sebagai usaha campur tangan eksekutif ke atas tugas atau bidang kuasa judisiari (kehakiman). Ini bercanggah dengan semangat dan prinsip dalam doktrin pengasingan kuasa. Sedangkan batas kuasa dan tanggungjawab tiga cabang pemerintahan negara iaitu eksekutif, legaslatif dan judisiari telah diperincikan dalam perlembagaan persekutuan.

Untuk seketika polemik mengenainya mewarnai lanskap sosio-politik tanah air dan menghangatkan lagi suhu politik yang tidak pernah surut semenjak PRU ke-12 lalu.

Posting kali ini mengajak pembaca melihat isu ini dari kaca mata Pengajian Malaysia iaitu bagaimana Majlis Raja-raja berperanan untuk menyelesaikan kemelut perundangan yang timbul berikutan berlakunya pertukaran agama salah seorang ibu atau bapa yang bukan Islam kepada Islam.

Bernama melaporkan bahawa Majlis Raja-Raja hari ini (29 Jun) :

“…memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).”

Melalui kenyataan dari Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dinyatakan bahawa :

“…Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu pada satu mesyuarat khas hari ini.”

Signifikannya berita ini kepada kursus Pengajian Malaysia menjelaskan bidang kuasa pemutus Majlis Raja-raja dalam menyelesaikan masalah yang timbul tentang Islam dan hal ehwal orang Melayu.

Sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan institusi paling tinggi dalam negara kita ini mempunyai segala kuasa untuk mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa cadangan, pindaan apatah lagi jika ada usaha pemansuhan perkara-perkara bersangkutan agama Islam di negara ini, sama ada ia datangnya dari pihak eksekutif (dasar) atau pun legaslatif (akta).

Keputusan Majlis Raja-raja adalah konklusif dan muktamad. Justeru, semua pihak mesti menghormatinya kerana ia adalah tuntutan dalam masyarakat yang bertiang serikan kontrak sosial seperti masyarakat Malaysia.

Diharap selepas ini tiada lagi perbincangan lanjut di pihak NGO bukan Islam bahkan NGO Islam sendiri untuk membuka ruang perbincangan awam kerana ia boleh mengeruhkan kembali keadaan yang melanda emosi masyarakat yang sangat mudah dimainkan oleh sentimen keagamaan dan kebangsaan. Jika adapun ia hanyalah perbincangan yang bersifat akademik bagi mencari kejernihan melalui penelitian lanjut para intelektual.

Kepada pihak kerajaan yang memegang tanggungjawab esksekutif juga harus lebih bijaksana sebelum membuat satu dasar atau meminda akta berkaitan isu sensitif. Ini kerana ramai pihak di kalangan ahli masyarakat yang melihat ia sebagai satu langkah untuk mengambil hati melalui tawar menawar politik di kalangan ahli Barisan Nasional.

Di samping itu semua pihak berkaitan mesti terus mendokong dan berpegang sekuat-kuatnya doktrin pengasingan kuasa dan tidak membiarkan kepentingan sempit sepihak menguasai pertimbangan rasional mereka hingga terlajak mencampuri bidang kuasa pihak lain.

Penyelesaian suatu kemelut dalam masyarakat apatah lagi dalam isu sensitif di negara kita mestilah dibuat dengan pertimbangan yang sangat teliti dan penuh kewarasan. Ini kerana emosi dan kepentingan sempit sepihak tidak pernah menyelesaikan masalah apapun.

Kita mesti lebih rasional dari orang dahulu kerana pendidikan hari ini lebih menyeluruh dan demokratik.

Tidak cukupkah dengan iktibar dari Tragedi hitam 13 Mei 1969 dan Kg. Medan 2001?

Disalin daripada blog cikgubad.wordpress.com dengan sedikit suntingan, posting 30 Jun 

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.©cikgubad,2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...