Saturday, July 11, 2009

Politik Perak Bergolak

Politik tanah air terus bergolak. Selepas PRU-12 8 Mac 2008 lalu, perkembangan terbaru di negeri Perak dalam tempoh seminggu ini adalah yang paling dramatik dan kini suhunya sudah pun memuncak.

Media melaporkan bahawa badan eksekutif kerajaan negeri Perak yang demokratik tumbang gara-gara 4 orang ADUN Pakatan Rakyat (PR) mengisytihar keluar parti – 1 keluar DAP, 2 keluar PKR semuanya menjadi ADUN bebas dan 1 yang baru masuk PKR 11 hari sebelumnya kembali semula ke pangkuan UMNO (BN) – dan menyatakan sokongan kepada BN menjadikan BN Perak kini mendapat majoriti mudah. Mendapat pengesahan daripada undang-undang tubuh negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan, BN kini kembali berkuasa.

Saya suka memanfaatkan perkembangan politik terbaru ini dari sudut ilmu Pengajian Malaysia untuk menjadi bahan pemikiran pelajar saya.

Dalam apa situasi atau keadaan pun, suatu peristiwa itu perlu dilihat secara objektif dan kritis. Sebelum kita boleh bersetuju atau sebaliknya terhadap nasib kerajaan Pakatan Rakyat sekarang, keputusan Sultan Perak untuk tidak membubarkan DUN Perak dan memberi perkenan kepada perlantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar baru Perak, ia sangat bergantung kepada peruntukan dan pentafsiran yang tepat terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Ini kerana – jika kita mengikuti komentar dan analisa dalam blog sosio-politik – kita akan dihadapkan dengan dua aliran yang bertentangan. Satu yang pro-PR dan satu lagi pro-BN. Bagi orang awam seperti kita sudah tentu tidak mudah untuk membuat kesimpulan sendiri ‘melainkan’ kita seorang fanatik dan sentiasa mengikut emosi.

Dalam pada itu jika benar BN tidak berbuat sesuatu di luar lingkungan undang-undang sebelum ini maka penghijrahan dan pertukaran kiblat politik 4 ADUN PR adalah suatu yang ikhlas dan lahir dari keinsafan dalaman mereka. Ini kerana pastinya mereka inginkan sebuah wadah siasah yang lebih kukuh dan stabil untuk mereka meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat. Kekal dalam PR bermakna kekal dalam kelemahan dan ketidaktentuan pentadbiran PR di Perak. Ini tentunya akan menggendala tugas-tugas mereka kepada rakyat.

Namun, jika benar BN telah menyusun strategi dan telah mengumpan keempat-empat ADUN PR – 2 daripadanya bakal berdepan dengan perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah tidak lama lagi – maka apa yang berlaku adalah satu permainan politik yang kotor dan ada unsur mala fide semata-mata untuk merampas kuasa dari kerajaan demokratik PR. Ia juga membuka tembelang keperibadian 4 ADUN PR yang lemah dan hina kerana berhajatkan ganjaran kebendaan.

Jika ini benar-benar terjadi maka ‘even it is politically right for them, but morally they are wrong’.

Justeru bagi saya – setidak-tidaknya untuk ketika ini – kita perlu kembali kepada asas-asas yang ditetapkan dalam perlembagaan. Biarlah kita menyandarkan tindak tanduk semua pihak terbabit dengan dalil perundangan untuk menyelesaikan kemelut politik ini agar tidak berpanjangan. Jika tidak yang (selalunya) menjadi mangsa ialah rakyat biasa.

Mengenai peranan Sultan Perak dalam isu ini ia dilaporkan bertindak mengikut peruntukan undang-undang sama ada untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang baru atau mengarahkan perletakan (dibaca : memecat) jawatan Menteri Besar dan barisan EXCOnya dan membuat perlantikan baru.

Dan berdasarkan pemahaman saya kepada peruntukan undang-undang – di atas kertas – Sultan Perak mempunyai prerogatif untuk membuat keputusan tersebut bagi menjaga kepentingan rakyat setelah mempertimbangkan secara halus semua perkara dan kesannya akan datang. Akhirnya baginda telah memilih untuk melantik kerajaan negeri baru tanpa perlu dibubarkan DUN Perak. Justeru, keputusan baginda sultan adalah muktamad.

Kita perlu faham bahawa kuasa prerogatif tidak boleh dicabar di mahkamah. Dan sultan Perak tidak pula melakukan jenayah untuk diheret ke mahkamah bagi membela dirinya di atas keputusan yang dibuat.

Namun jika peruntukan yang ada pun masih kabur untuk dipegang sebagai kata pemutus, maka sebagaimana biasanya pihak yang tidak berpuas hati boleh membawa isu ini ke mahkamah. Pihak PR telah membuat sidang akhbar untuk membawa pertikaian ini ke mahkamah bagi mengisytiharkan perlantikan badan eksekutif baru BN di Perak adalah tidak sah.

Sebagai negara demokrasi, semua pihak berhak mendapat keadilan agar suara mereka didengar dan pada masa sama jika bersalah mereka juga boleh diadili.

Kini kita mesti menyerahkan kuasa pemutus di tangan para hakim apabila kes ini difailkan Selasa depan. Walaupun banyak suara yang skeptikal dan pesemistik terhadap institusi kehakiman negara kerana rekod-rekodnya yang buruk sebelum ini, saya masih berharap agar hakim yang mengadili kes ini kelak berpegang kepada prinsip keadilan, non-partisan dan berani membuat keputusan ‘without fear or favour’.

Moga baki harapan saya terhadap sistem kehakiman negara akan benar-benar beralasan dan berbaloi.

Kepada semua rakyat Malaysia, Rukunegara telah mengikat kita dengan prinsipnya iaitu ‘Keluhuran perlembagaan’. Dan mendahului prinsip ini ialah ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’.

Apakah kita sedang mencanggahi Rukunegara kita dengan apa yang kita pegangi dan tunjukkan sekarang ?

Disalin semula dari blog cikgubad.wordpress.com; February 7, 2009...4:21 pm 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...