Saya mengutip bahan ini dari kertas kerja Profesor Hashim Hj. Musa bertajuk 'Islam dan Dialog Antara Peradaban : Konsep dan Idealisme' yang dibentangkan dalam Perbincangan Meja Bulat “Islam dan Dialog Peradaban”, anjuran Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, 23 Disember 2003.
Kumpulan tersebut ialah :
Pertama, kumpulan ekstrimis yang mempunyai kecenderungan mentafsir dan melaksanakan sesuatu peraturan atau hukum dengan cara melampaui batas pertengahan dan keseimbangan.
Kedua, kumpulan chauvinis (rasis) yang begitu taasub dengan pemikiran dan pendekatannya. Bagi mereka ide dan cara sendiri atau kumpulan mereka sahaja yang terbaik dan paling benar. Manakala fikiran di luar kelompok mereka adalah batil dan mesti ditolak.
Ketiga, kumpulan fanatik yang menggunakan sesuatu cara, pendapat dan pendekatan secara membabi buta (menghampiri psikosis). Sikap dan watak yang tegar ini menolak sekeras-kerasnya sumbangan pihak lain.
Bagaimana kumpulan minoriti ini mendatangkan bahaya ke atas masyarakat majmuk?
Kumpulan ini cuba menjustifikasi dan mempengaruhi pandangan umum dalam usahanya mencapai motif perjuangan mereka sama ada bersifat politik (yang paling biasa), ekonomi dan sosial. Mereka menggunakan isu hak asasi, kesamarataan semua kaum, keadilan, kebebasan bersuara, hak demokratik rakyat dan berbagai lagi. Cara ini mudah mencuri perhatian umum terutamanya dari kelompok mereka sendiri.
Apabila berpeluang - kerana kelemahan pihak berkuasa atau kaum majoriti - mereka akan membuat tuntutan-tuntutan yang melintasi garis kaum atau agama. Peluang juga muncul apabila pihak berkuasa mempamerkan sikap yang lebih terbuka dan menyediakan ruang yang luas untuk kebebasan bersuara.
Sikap-sikap ini bila tidak dibendung akan menjadi lebih berani dan ekstrim. Bila ini berlaku ia akan mengundang bahaya kerana ia berpotensi mencetus konflik antara etnik, agama, dan antara minoriti dengan majoriti.
Apabila situasi ini tidak dapat dikawal lagi maka terjadilah tragedi kemanusiaan. Jika kumpulan minoriti ini mempunyai kelengkapan persenjataan kemusnahan yang berlaku akan menuntut korban yang lebih besar.
Bagi kumpulan yang mempunyai idealogi dan cita-cita politik yang lebih besar daripada keutuhan negara-bangsanya sebagaimana dituntut prinsip 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung', jika mereka gagal secara lembut atau diplomasi, mereka akan menggunakan cara-cara lain seperti mengadu domba, menghasut, menyebar fitnah dan sebagainya.
Sebagai langkah akhir – seperti yang pernah dilakukan komunis dahulu – mereka menggunakan cara paksaan, kekerasan dan aksi militan. Bagi mereka 'matlamat menghalalkan cara' Machievelli menjadi rukun iman dalam perjuangan mereka asalkan matlamat tercapai.
Dengan perancangan yang rapi impak besar dari tindak tanduk mereka – sama ada bermotifkan politik, sosial atau ekonomi – direncanakan. Ia disengajakan bagi memberikan kesan ketakutan dan pengaruh meluas dan lama serta lebih berkesan ke atas masyarakat dan negara bahkan suasana sejagat.
Jika kita objektif melihat kembali sejarah pasti kita menemukan rekod jenayah kumpulan-kumpulan ini. Kumpulan ini tidak berbangsa, tidak beragama, tidak bernegara. Ia wujud di seluruh pelusuk bahagian benua bumi. Tanpa kecuali satu pun!
Adakah kumpulan ini wujud dalam masyarakat kita ?
Kajian yang lebih mendalam diperlukan untuk mengumpul fakta yang konklusif. Bukan mudah untuk menghukum seseorang sebagai pelampau.
Namun sejak 13 Mei 1969 ciri-ciri asas pelampau ini dalam bentuk kumpulan ektrimis, cauvinis dan fanatik memang dapat dikesan wujud pada parti siasah perkauman.
Kini ia meresapi pula di kalangan NGO dan kumpulan individu tertentu. Sekurang-kurangnya ciri ini dikesan dalam media cetak dan kini elektronik melalui siaran artikel, ruang forum pembaca dan juga kolum tetap. Debat dan polemik sekitar isu perjuangan menuntut hak etnik dan agama misalnya hampir tidak berkesudahan.
Kita patut bimbang dengan senario yang berlaku ini. Ia tidak sihat kepada iklim sosial, politik dan ekonomi negara. Ia adalah simtom kepada penyakit psikologi etnik yang merasakan diri mereka tertindas, dipinggirkan dan didiskriminasikan oleh pihak kerajaan.
Justeru apabila ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan menuntut agar kaum bukan Melayu diberi taraf Bumiputera dalam sidang DUN Selangor 8 Julai lalu ia wajar dilihat sebagai petanda yang tidak baik kepada kaum Melayu dan bumiputera.
Apa salahnya tuntutan Manoharan itu ?
Mudah untuk kita menelah niat beliau. Sebagai seorang pemuka HINDRAF dan ahli DAP - terbitan PAP Singapura yang memperjuang konsep Malaysian Malaysia - tuntutan beliau atau kumpulan yang beliau wakili itu jika tercapai akan membelakangkan kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang dimeterai antara kaum Melayu dengan kaum imigran.
Bagai kaduk naik junjung di atas keterbukaan yang diberikan kerajaan, sikap Manoharan jelas sebagai satu percubaan awal untuk mengubah perlembagaan Persekutuan dan cuba mengambil peluang di atas konsep 1Malaysia yang ditaja Dato' Seri Najib.
Benarkah konsep 1Malaysia akhirnya akan menghilang langsung jurang sosial antara etnik di Malaysia?
Saya tidak fikir ini akan terjadi. Melayu dan bumiputera tetap dengan status etnik ini. Begitu jugalah kaum CIna dan India.
Ini kerana masyarakat Malaysia sejak 1957 telah didefinisikan oleh perlembagaan persekutuan dalam apa yang disebut sebagai Kontrak Sosial. Perkara 153 misalnya telah difahami sebagai perlindungan ke atas kaum Melayu dan bumiputera oleh Raja-raja Melayu.
Tidak kerana dalam perkara yang sama (Per. 153) perlembagaan persekutuan YDPA juga bertanggungjawab menjaga kepentingan yang sah kaum bukan Melayu ini.
Jadi konsep baru 1Malaysia ini masih terikat dengan semangat asal perlembagaan persekutuan. Jika ada niat tersirat untuk mengubah kerangka ini maka ia boleh dipertikaikan di kamar mahkamah satu masa nanti atau pihak Majlis Raja-raja boleh campur tangan untuk mengelakkan natijah buruk ke atas kaum Melayu dan bumiputera.
Berbalik kepada tuntutan Manoharan tadi memanglah ia tidak akan berhasil kerana bukannya mudah meminda apatah lagi memansuhkan perkara yang berkaitan dengan kepentingan Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu, namun kelantangan Manoharan memberi mesej kepada kita bahawa golongan ini tidak mudah untuk toleran dan boleh jadi cenderung menjadi cauvinis pula kelak.
Tanpa kajian objektif ramai yang akan terpengaruh bahawa kaum India dan lain-lain minoriti telah menjadi warganegara kelas kedua berbanding kaum Melayu dan bumiputera.
Dengan kebimbangan ini, maka pada hemat saya kursus Hubungan Etnik diperkasakan dan Pengantar Perlembagaan Negara perlu diwujudkan. Dan oleh kerana melentur buluh itu biarlah dari rebungnya, seeloknya mata pelajaran sejarah juga perlulah dipinda semula agar elemen pemahaman perlembagaan negara diberikan penekanan yang sewajarnya.
Usaha ini - bersama dengan pelan pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang lebih adil dan saksama oleh kerajaan - akan menggiatkan lagi usaha melahirkan negara-bangsa Malaysia berdasarkan acuan tempatan dan lunas sejarah kelahiran Persekutuan Tanah Melayu merdeka 1957.
Saya fikir kita semua wajib kembali melihat akar budaya dan lipatan sejarah. Kita semua sangat memerlukannya kerana seakan-akan kita sedang hilang punca dan kiblat kehidupan.
Kepada saudara Manoharan tidak pentingkah lagi 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar '?
------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.
No comments:
Post a Comment