Saturday, July 11, 2009

Kita ‘Berhutang’ kepada Anak Cucu Cicit Kita

Memilih untuk memihak atau menyokong mana-mana aliran atau idealogi siasah adalah hak yang sah di sisi perlembagaan negara. Jadi jika saya memilih untuk mendokong parti alternatif bukanlah satu dosa di sisi undang-undang negara. Ia samalah jika saya menyokong parti siasah pemerintah.


Hakikatnya sejak dulu saya bukanlah ahli kepada mana-mana parti siasah. Saya tidak pernah berniat pun untuk menyertai mana-mana parti siasah. Saya mahu kelihatan dan dilihat non-partisan. Pemihakan saya hanya akan saya terjemahkan di peti undi semasa pilihan raya.

Akan tetapi sebagai seorang rakyat yang prihatin, saya tidak boleh terlepas dari ‘membaca’ dan membincang isu-isu siasah.

Ini kerana isu siasah – macam juga isu sosial dan ekonomi – mempengaruhi kehidupan seharian kita sama ada kita sedar atau tidak. Apa yang sedang kita alami dulu, sekarang dan akan datang adalah hasil daripada percaturan siasah, pengurusan ekonomi dan pencorakan sosial pemerintah. Justeru, saya tidak boleh tidak mesti mempedulikan isu-isu ini.

Justeru, bagi mendapatkan maklumat saya perlu membuat ‘kajian kepustakaan’. Orang akademiklah katakan!

Jadi antara bahan yang saya rujuk ialah akhbar online dan tulisan-tulisan dalam blog sosio-politik. Tidak saya cicirkan ialah buku-buku berkaitan – biasanya yang bersifat ilmiah.

Saya tahu saya kena bijak dan kritis dalam memilih bacaan saya kerana tidak semua yang ditulis dalam media rasmi dan tidak rasmi boleh dipercayai atau ditelan bulat-bukat. Peristiwa 1997/98 ketika isu Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan orang nombor dua negara dan pilihanraya umum ke-10 1999 mengajar kita bahawa media arus perdana menjadi pelapor berita yang songsang, bias, dan kadang-kadang palsu.

Berita dan perspektif yang cuba disogokkan kepada pembaca hanya menjulingkan pemikiran rakyat. Niat mala fide pengamal media terhadap parti siasah pembangkang dan sekutunya begitu terserlah hingga akhirnya mereka diboikot oleh rakyat. Dilaporkan ketika itu jualan akhbar-akhbar tersebut merosot.

Ketika itu jolokan seperti Berita Hairan, Utusan Meloya dan TV3 1/4 dicanang untuk memberi gambaran betapa rendahnya kewibawaan (credibelity) media arus perdana. Jelas etika kewartawanan telah dilututkan ke tahap yang sangat rendah ketika itu.

Kini situasi yang hampir sama tercetus kembali tapi mengikut versinya tersendiri. Saya kembali merujuk dengan pemikiran kritis ke atas bahan-bahan relevan yang ditulis dalam media konvensional dan alternatif. Harapan saya adalah untuk mendapatkan gambaran keseluruhan apa yang sebenarnya telah dan sedang terjadi. Jika perlu dapatlah saya jadi ‘ahlil nujum’ untuk meramalkan apa yang bakal terjadi kelak.

Namun, ketika saya cuba mendapatkan maklumat dan berita semasa daripada sumber tradisi alternatif saya gagal mendapatkannya dengan mudah sebagaimana biasa. Saya diberitahu oleh rakan dan penjual akhbar bahawa akhbar-akhbar ini – sebahagiannya – telah dirampas oleh pihak berkuasa. Khabarnya oleh orang Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mengapa ini harus terjadi?

Saya percaya pihak KDN sudah tentu ada alasan mereka. Pastinya kerana alasan sama – macam dulu-dulu – akhbar ini melaporkan berita palsu, serong dan fitnah ke atas pemimpin negara. Mungkin juga kerana menjaga ketenteraman awam yang terjejas kerana penulisan kritis dan radikal atau ekstrim pengarang akhbar alternatif. Di sisi undang-undang kerajaan memang diberi kuasa menjaga dan mengawal keselamatan negara. Saya tiada masalah dengan perkara ini.

Namun pada masa sama pihak pembangkang juga melemparkan tuduhan sama ke atas media ‘rasmi’ pemerintah. Lebih-lebih lagi media tersebut mempunyai pengaruh yang lebih kuat kerana liputan atau jaringan luas ke seluruh negara.

Dalam banyak situasi pihak pembangkang menjadi mangsa mudah media arus perdana. Sukar untuk kita rakyat biasa menduga dan meneka kebenaran di pihak yang mana.

Melihat kepada tingkah laku dan membaca laporan semua media ini saya membuat satu kesimpulan iaitu media ini masing-masing dalam setiap kesempatan cenderung mengamalkan:

baling batu sembunyi tangan
paku dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih

Namun antara dua aliran ini, atau dua kemudaratan – jika kita menganggap kedua-duanya membawa mudarat – pasti ada satu pihak yang lebih baik, berwibawa dan ikhlas dalam memperjuangkan idealogi mereka. Mereka inilah yang membawa panji-panji kebenaran dan keadilan kepada masyarakat. Idea-idea mereka lebih luhur. Keperibadian lebih jernih dari kotoran nafsu.

Justeru, jika golongan ini ditekan, disekat kebebasan, ditangkap, bahkan dibunuh sekalipun ia hanya mengurung atau membunuh jasad perjuangan.

Tetapi roh, pemikiran, idea dan iman perjuangan mereka sentiasa bebas dan akan singgah ke dalam pemikiran dan jiwa orang lain. Ini kerana sisi-sisi ini bersifat abstrak atau seni yang tidak boleh dikurung dalam penjara. Ia sentiasa membara dan dibarakan untuk satu masa menyalakan api perjuangan sama di tempat lain.

Inilah yang dibuktikan oleh perjuangan Nelson Mandela dan Mahatma Ghandi.

Tidak terkecuali ialah perjuangan suci Muhammad saw dan para sahabat.

Pemikiran dan iman yang menafasi perjuangan mereka telah tercipta dan lahir merdeka dan akan terus merdeka.

Benarlah bagai dikata A. Samad Said :

Setiap yang benar
Betapa ditekan tetap menjalar
Tanpa dibaja kan tetap mekar
Tanpa udarapun kan tetap subur

Siapakah di antara dua golongan di atas yang memiliki ciri-ciri ini?

Saya tidak akan memberikan jawapannya di sini. Itu ertinya menyuapkan fakta ke dalam benak anda! Itu cara yang pasif namanya.

Berfikirlah sendiri.

Akhir kalam, saya berharap saya menjadi sebahagian daripada perjuangan ‘kemerdekaan’ minda, roh dan nurani pelajar-pelajar saya demi agama, bangsa dan tanah air ini.

Dan sebagai golongan pendidik bukankah kita (lebih) ‘berhutang’ kepada anak cucu cicit kita akan datang!

Ini kerana tanahair ini perlu diwariskan kepada generasi yang merdeka jiwa dan soleh keperibadiannya. Dan tanah air ini perlulah disediakan dengan iklim politik, sosial dan ekonomi yang baik untuk anak cucu cicit kita kelak.

Disalin semula dari blog cikgubad.wordpress.com; March 22, 2009...3:27 pm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...