Thursday, July 16, 2009

Manoharan Mohon Maaf

Setelah seminggu mengeluarkan tuntutan agar kaum bukan Melayu diberikan status bumiputera selepas sidang DUN Selagor, akhirnya semalam (15 Julai) beliau telah memohon maaf melalui suratnya kepada Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Ibu Pejabat GPMS.

Kesal dengan apa yang telah berlaku beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah dari DAP itu memohon maaf sekiranya kenyataan peribadinya itu telah mengecilkan hati atau mengguris perasaan mana-mana pihak. (Utusan Malaysia, 15 Julai 2009)

Beliau dipetik berkata 'Saya sesungguhnya tidak mempunyai apa-apa niat terselindung dan ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa menyoal hak-hak orang Melayu seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.'

Isu yang kontroversi ini timbul berikutan kenyataan yang diucapkan oleh Manoharan semasa sidang akhbar selepas persidangan DUN itu. Beliau dilaporkan menuntut supaya kerajaan memberikan taraf bumiputera kepada bukan Melayu di negara ini yang lahir selepas 31 Ogos 1957 selaras dengan usaha merealisasikan gagasan 1Malaysia yang ditaja Dato' Seri Najib.

Kenyataan Manoharan tersebut adalah susulan kepada kenyataannya semasa sidang DUN mengenai keengganannya memakai songkok sehinggalah beliau (dan kaum bukan Melayu amnya) diberikan status bumiputera oleh kerajaan persekutuan.

Sehubungan dengan itu tindakan beliau semalam dilihat sebagai reaksi terhadap beberapa laporan polis yang telah dibuat oleh pihak tertentu agar beliau disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghasut dan menghina orang Melayu dan simbol kebangsaan negara.

Di negara kita, perkara-perkara seperti kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, Islam dan Raja-raja Melayu adalah antara perkara sensitif dalam Kontrak Sosial 1957. Selepas 13 Mei 1969, semua perbincangan terbuka mengenai perkara tersebut adalah dilarang sama sekali.

Sekatan ini juga diperluaskan hingga ke dalam sidang badan perundangan Parlimen dan DUN. Imuniti yang sebelum ini dinikmati Ahli Parlimen dan ADUN untuk membicarakan apa sahaja perkara semasa berlangsung sidang Parlimen atau DUN telah ditarik oleh pihak berkuasa agar ketenteraman awam dalam masyarakat majmuk di negara kita dipelihara.

Jika sabit kesalahan melakukan perkara di atas, seseorang itu boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Hasutan 1948, dan mungkin juga mengikut Akta Keselamatan Dalam Negera (ISA) 1960.

-------------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.©cikgubad,2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...