Saturday, July 11, 2009

‘Implikasi’ Menjadi Muslim di Malaysia – Perspektif Perlembagaan

Isu ini adalah antara isi utama kuliah bab Perlembagaan dalam kursus MPW1133 Pengajian Malaysia. Ia disentuh kerana nilai berita dan sifat kesemasaannya (contemporary) bagi memahamkan pelajar tentang faham perlembagaan (constitutionalism) dalam konteks negara kita Malaysia.

Juga untuk menyampaikan mesej kepada pelajar mengenai perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi dan diluhurkan rakyat Malaysia. Di dalamnya termuat unsur tradisi yang dikekalkan dalam negara moden, ikatan dan kontrak sosial selain berfungsi sebagai dokumen undang-undang. Prinsip dan hukum hakam perundangan ini mendefinisikan cara hidup rakyat dan kelakuan kerajaan serta institusi sosial dan politik.

Namun isu ‘Implikasi menjadi muslim di Malaysia’ menjadi polemik berikutan timbulnya konflik antara kebebasan asasi (Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan – selepas ini diringkaskan sebagai PP) bersama kebebasan beragama (Perkara 3 dan 11 PP) dengan (Kewajipan) menjadi dan kekal muslim di Malaysia mengikut Perkara 160(2).

Sebagai teks undang-undang yang tidak bersifat muktamad dan tidak langsung definitif, peruntukan-peruntukan ini memerlukan pentafsiran para hakim yang arif untuk membuat kata putus di kamar mahkamah – peruntukan manakah yang patut ditegakkan manakala yang lain akan tertakluk kepada maksud sebenar atau maksud asal peruntukan tadi.

Kes Lina Joy yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di mana beliau kalah dalam rayuannya untuk dibuang perkataan Islam dalam Kad Pengenalannya membuktikan bahawa ketertinggian Islam di sisi undang-undang negara.

Mengulas isu ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Faiza Thamby Chik – dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa 2008 di USIM – telah berkata :

“Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan”.

Selanjutnya beliau juga menegaskan bahawa kebebasan beragama di Malaysia dijamin oleh perlembagaan. Namun dakwah agama bukan Islam dibatasi oleh peruntukan lain PP – iaitu Perkara 11 (4) – sebarang usaha mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam adalah dilarang.

Adakah maksud yang lain daripada apa yang telah dihuraikan oleh bekas hakim tersebut yang boleh dianggap lebih autentik (berwibawa) untuk dipegang oleh kita? Bagi yang kritis pendapat oleh bekas hakim itu masih boleh dibahaskan lagi. Ruang polemik ini akan ditutup hanya apabila perkara ini dipersetujui secara konsensus oleh para pengamal undang-undang, sarjana, legaslatif dan eksekutif. Atau – jika terpaksa – melalui paksaan undang-undang juga sebagai alat kawalan sosial apabila keadaan menjadi tidak lagi terkawal hingga berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
____

Petikan tertentu di atas diambil daripada sumber BERNAMA.com bertajuk ‘Penganut Islam di Malaysia Tidak Boleh Tukar Agama, Kata Bekas Hakim’, 19 Nov 2008 dan diolah untuk menyokong buah fikiran penulis di atas.

Disalin semula dari blog : cikgubad.wordpress.com , November 21, 2008...6:25 am

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...